Kampus & Pendidikan 02 Apr, 2024

Syabas UKM! Makmal Sosial FSSK@Komuniti di Pusat Jagaan Mahmudah! Pusat penyelidikan, pendidikan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


IMPIAN Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, untuk menjadi sebahagian daripada pusat penyelidikan dan pendidikan akhirnya tercapai apabila dipilih secara rasmi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mewujudkan Makmal Sosial.

Makmal Sosial Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan atau FSSK@Komuniti menerusi Unit Kasih@FSSK itu diwujudkan secara rasminya pada 25 Mac 2024.

Bukan setakat mahu dikenali sebagai pusat jagaan menyediakan perlindungan kepada warga emas yang terdampar selepas ‘discharge’ dari hospital, disisih ahli keluarga termasuk anak, hidup sebatang kara, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan kini PJMM akan menjadi salah satu lokasi pembelajaran.


Dr Sity Daud (tengah) berucap pada majlis perasmian Makmal Sosial FSSK)@Komuniti. Dr Noremy (kanan) dan Azman (kiri). - Foto ihsan Unit KASIH@FSSK.


Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, FSSK UKM, Prof Dr Sity Daud, berkata kehadiran FSSK ke PJMM boleh dianggap sebagai sahabat dalam berkongsi pelbagai maklumat mengenai masyarakat menerusi Makmal Sosial itu.

Menurutnya, langkah itu juga akan membuka peluang kepada pelajar termasuk dari institusi pelajaran tinggi (IPT) lain untuk bersama-sama membantu pusat jagaan seperti PJMM dalam menangani masalah masyarakat seperti menjaga dan menyantuni warga emas daripada terbiar.

“Kali pertama berkunjung ke PJMM ini saya berasa terharu dan amat mengagumi insan hebat mengurus dan menyantuni warga emas termasuk yang uzur dengan sempurna di samping terpaksa bersusah payah mencari dana untuk memastikan dapat terus beroperasi,” ujarnya pada majlis perasmian Makmal Sosial FSSK@Komuniti.

Turut hadir pada majlis itu Penyelaras Unit Kasih@FSSK, Dr Noremy Md Akhir; Dr Sarina Yusoff, Dr Norfazila Abdul Hamid dan Dr Surendran Rajaratnam daripada skuad Kasih@FSSK; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha dan Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin serta Sazali Mohiden.

Pada majlis itu, Dr Sity dan Azman mengantungkan plak sebagai tanda rasmi diwujudnya Makmal Sosial FSSK@Komuniti di PJMM.


Prof Dr Sity Daud (tengah) dan Unit Kasih@FSSK bergambar bersama-sama pengurusan PJMM yang terdiri daripada Mohiadin Bahado, Azman Rasman serta Muhammad Syafiq Mohiadin pada pada majlis perasmian Makmal Sosial FSSK@Komuniti pada 25 Mac 2024.


Muhammad Syafiq pula menganggap kehadiran UKM khusus Unit Kasih@FSSK membuka lembaran baharu dan suatu yang diinginkan dalam usahanya sebagai setiausaha untuk memperluas fungsi PJMM bukan setakat sebagai pusat jagaan atau perlindungan warga emas tetapi juga menjadi lokasi pembelajaran. 

Menurutnya, perkara itu menjadi platform terbaik dalam kalangan pensyarah, pelajar termasuk penyelidik untuk datang membuat kajian dan sebagainya mengenai warga emas yang melalui pelbagai liku kehidupan serta menjadi sejarah sedih mereka sebelum terdampar di PJMM.

Tambahnya, langkah itu dapat membantu khususnya kerajaan dalam mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah warga emas yang hilang arah kehidupan selepas tidak dipedulikan bagi mengelak ia menjadi lebih parah serta hilang nilai kasih sayang dan kemanusiaan dalam masyarakat.

“PJMM juga membuka peluang kepada IPT untuk menghantar pelajar menjalani latihan industri kerana pelbagai perkara boleh dilakukan bersesuaian dengan kursus yang mereka ambil malah di sini cabarannya memang amat mencabar terutama dalam menguji kesabaran,” ujarnya.


Dr Sity dan Unit Kasih@FSSK menyantuni warga emas yang uzur dan tidak mampu untuk bergerak.


Dr Noremy dalam taklimat ringkasnya menjelaskan, Makmal Sosial tiada dalam fakulti sebaliknya berada dalam komuniti dan menjadikan PJMM sebagai platform untuk pengajaran, pendidikan, penyelidikan serta berkhidmat untuk komuniti.

Tambahnya, seperti dua Makmal Sosial sebelum itu yang sudah diwujudkan di Bangi dan Kajang, warga FSSK serta pelajar akan datang ke PJMM untuk membuat aktiviti pelajaran di samping khidmat sosial masyarakat.

Beliau menerangkan, Makmal Sosial FSSK@Komuniti diwujudkan melalui lantikan agensi, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan kebajikan dan kemanusiaan yang berada di sekitar Bangi, Kajang dan Semenyih.


Mohiadin (kanan) menerangkan sesuatu mengenai warga emas kepada Dr Sity, Dr Noremy Md Akhir dan Dr Surendran Rajaratnam.


Matlamat Makmal Sosial FSSK@Komuniti adalah mengiktirafkan agensi berkenaan sebagai lokasi bagi memenuhi elemen pengajaran dan pembelajaran (E), penyelidikan (R) dan khidmat (K) dalam kalangan warga FSSK (kakitangan dan pelajar).

Menurutnya, menerusi elemen E memberi peluang kepada pensyarah dan pelajar dalam pelbagai program pengajian di FSSK menjalankan kerja lapangan, seminar, program pemindahan ilmu di bawah kursus membabitkan komuniti atau agensi yang dilantik.

Bagi elemen K pula, Dr Noremy berkata, menggalakkan warga FSSK menjalankan projek khidmat masyarakat bersama komuniti dan agensi dilantik sebagai menunjukkan sikap prihatin warga FSSK. Ini selaras dengan tanggungjawab sosial universiti dalam memberi sumbangan kepada komuniti setempat.

“Elemen R pula sebagai pusat lokasi bagi projek penyelidikan sama ada pada peringkat prasiswazah (latihan ilmiah), atau siswazah (penyelidikan sarjana/PhD) atau geran penyelidikan kakitangan akademik yang membabitkan komuniti atau kumpulan sasar di agensi berkenaan,” ujarnya. - KitaReporters


Dr Noremy menyampaikan taklimat ringkas mengenai Makmal Sosial FSSK)@Komuniti selepas majlis perasmian.


Dr Sity dan Azman mengantungkan plak Makmal Sosial FSSK)@Komuniti sebagai gimik perasmian pada dinding di PJMM.

20
15
0
15
0
You will be interested