Kampus & Pendidikan 18 Jul, 2024

Beri keinsafan! Pelajar UNISSA berlinangan air mata santuni warga emas! Anjur program Peduli Ummah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


LINANGAN air mata mengiringi 70 pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Negara Brunei Darussalam dalam program UNISSA International Outreach: Peduli Ummah apabila tidak dapat menahan sebak melihat ramai warga emas tersisih dan keuzuran di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.

Kesedihan yang menusuk jiwa itu tidak dapat disorok oleh pelajar terbabit apabila kali pertama melihat keadaan sedemikian kerana di negara mereka tiada tempat perlindungan seperti PJMM malah menjadi tanggungjawab setiap ahli keluarga untuk menjaga serta mengurus ibu bapa bagi meneruskan kelansungan hidup.


Pelajar UNISSA merakam kenangan bersama-sama warga  emas di PJMM selepas mengadakan Program UNISSA International Outreach: Peduli Ummah pada 12 Julai 2024.


“Hati kami terlalu sedih melihat warga emas ini apabila terpaksa berkerusi roda untuk bergerak, dipimpin atau memegang bahu rakan untuk berjalan selain bertongkat yang sepatutnya disantuni anak sebagai menghargai kasih sayang dan tanggungjawab terhadap ibu bapa,” kata mereka yang ditemui ketika mengadakan program berkenaan di PJMM pada 12 Julai 2024.

Turut serta dalam program berkenaan Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu & Bahasa UNISSA, Dr Norashikin Yusuf dan Ketua Unit Kokurikulum Pusat Penataran Ilmu & Bahasa UNISSA, Dr Ummi Faizah Abdul Rahman. 

Hadir sama Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha serta Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin dan Sadali Mohiden.


Azman Rasman (kiri) memberi taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan PJMM kepada pelajar UNISSA.


Pada program itu Dr Ummi Faizah dan Dr Norashikin menyerahkan sumbangan yang diinfak pelbagai pihak dari Brunei berupa mesin penyejuk udara, kipas siling, penapis air dan barangan keperluan asas seperti beras, susu, sabun basuh dan sebagainya. 

Selain menyantuni penghuni yang terlantar kerana keuzuran, Dr Norashikin dan Dr Ummi Faizah bersama-sama pelajar mereka turut melakukan aktiviti senaman ringan, beramah mesra dan melayani warga emas makan tengah hari yang ditaja.

Berucap pada program itu, Dr Ummi Faizah berkata, sumbangan barangan itu bukan sahaja membawa pahala yang sentiasa mengalir untuk penginfak juga menyedarkan semua pihak ada orang luar sanggup datang untuk ambil peduli membela nasib warga emas itu.

Menurutnya, kunjungan ke pusat jagaan berkenaan menimbulkan rasa prihatin serta simpati pelajar terhadap warga emas yang ditemui supaya mereka dapat melihat kesusahan komuniti luar Brunei kerana keadaan sedemikian tiada di negara mereka.

Tambahnya, walaupun dalam waktu singkat diharapkan pelajar terbabit dapat menghiburkan hati warga emas yang disantuni dan merapatkan ukhuwah dengan masyarakat di Kampung Sungai Takali, Hulu Langat, Selangor serta pelajar maahad tahfiz di Nilai, Seremban, yang turut diziarahi sebelum hadir ke PJMM itu.

“Saya juga berasa kagum dengan PJMM yang sanggup mengambil alih tugas untuk menjaga serta menguruskan warga emas itu walaupun menghadapi pelbagai kekangan terutama menampung kos operasi disamping individu berhati mulia mewakafkan tanah untuk pusat jagaan ini,” kata Dr Ummi Faizah lagi.


Dr Ummi Faizah Abdul Rahman (kanan) bersama-sama pelajar UNISSA bertanya khabar seorang warga emas yang uzur.


Sementara itu, Pengerusi Al-Qudwah program berkenaan, Abdul Qawiyul Quddus Muhammad, berkata dia dan rakan pelajar lain berasa terkedu melihat keadaan warga emas itu dan sayu hati mendengar keluhan mereka menceritakan kisah silam apabila tidak dipedulikan ahli keluarga.

Menurutnya, ia memberi keinsafan kepada mereka semua untuk menjadi seorang anak yang bertanggungjawab dan sentiasa ambil peduli keadaan ibu bapa walaupun kehidupan komuniti di negara Brunei yang jauh berbeza berbanding di Malaysia.

Tambahnya, perkara itu bukan untuk bermegah sebaliknya memberi kesedaran serta manfaat bahawa masalah warga emas sedemikian boleh berlaku di mana sahaja apabila nilai kasih sayang diabaikan walaupun kita berasa selesa dengan kehidupan sekarang tanpa dibebani sebarang masalah.

“Saya berterima kasih kepada UNISSA kerana memberi peluang dengan membawa kami semua untuk menziarah masyarakat dan melihat suasana kehidupan mereka di luar negara yang amat menghargai kedatangan orang luar walaupun kali pertama bertemu,” ujarnya.


Abdul Qawiyul Quddus Muhammad (duduk dua dari kanan) bersama-sama rakan pelajar dan warga emas pada majlis perasmian program berkenaan.


Manakala Timbalan Pengerusi (2) Al-Qudwah, Nur Amal Afiqah Muhammad Nor Risman, berkata dia mendapat pengajaran supaya seseorang mesti taat menjaga ibu bapa di samping sentiasa menghormati mereka dalam apa jua keadaan sekalipun.

Menurutnya, walaupun di negaranya tiada situasi sedemikian namun sebagai seorang insan seharus menyayangi dan menyantuni mereka khusus warga emas tidak kira di mana berada kerana ia menepati sikap seseorang Islam dalam ambil peduli ummah.

“Saya juga berasa bertuah dapat beramah mesra dengan warga emas di pusat jagaan ini yang amat merindui kemesraan seorang anak dan berasa terkesan apabila pengurusan PJMM dapat melayani penghuni dengan baik manakala keadaan persekitarannya yang bersih serta dilengkapi pelbagai kemudahan,” katanya. - KitaReporters


Dr Norashikin Yusof melakukan gimik penyerahan barangan yang diinfak pelbagai pihak kepada Azman.

24
13
0
14
0
You will be interested