Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyatakan sokongan penuh dan menyambut baik terhadap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang telah diluncurkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 20 Januari 2026 yang menegaskan keperluan sistem pendidikan negara yang lebih terangkum, adil dan berperikemanusiaan serta berupaya membina insan berilmu, beradab dan berteraskan nilai ihsan.

Dalam konteks ini, UMT menyokong sepenuhnya kenyataan Kerajaan berhubung pemberian peluang pendidikan percuma kepada seramai 3,000 orang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) termasuk pengecualian bayaran pengajian, sebagai langkah penting memastikan keadilan dan kesaksamaan dalam akses pendidikan tinggi.
Setakat ini, seramai lima (5) orang mahasiswa OKU berstatus aktif sedang mengikuti pengajian di UMT melibatkan pelbagai kategori ketidakupayaan iaitu masalah pembelajaran, pendengaran, penglihatan serta kesihatan mental.
Kesemua mahasiswa berkenaan berdaftar secara sah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memiliki Kad OKU.
Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam, UMT komited menterjemahkan aspirasi nasional ini melalui pengurusan holistik kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa OKU yang diselaraskan oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) menerusi Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM).

Susur tangan (railings) disediakan di Kolej Kediaman UMT bagi memastikan keselamatan OKU terjamin.
Sokongan yang diberikan merangkumi pengurusan Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU), penyediaan sokongan akademik dan pengurusan peperiksaan khas, permohonan peralatan pembelajaran khas, penempatan kelas mengikut kesesuaian keperluan pelajar, penyediaan rakan pembimbing (buddies), kemudahan kenderaan khas OKU serta sokongan kesejahteraan mental dan emosi pelajar.
Dalam aspek kemudahan fizikal pula, UMT turut menyediakan persekitaran kampus yang mesra OKU melalui penyediaan bilik asrama khas, tandas mesra OKU, laluan pejalan kaki mesra OKU, petak parkir khas OKU serta kemudahan lif mesra OKU di bangunan utama.
Penyediaan kemudahan ini bukan sekadar memenuhi keperluan mobiliti malah mencerminkan pendekatan universiti dalam membina ekosistem kampus yang empati, selamat dan menyokong pembelajaran bermaruah.
Keprihatinan dan sokongan yang diberikan ini turut dirasai sendiri oleh pelajar OKU UMT. Nur Amalina Adriana, 22 tahun, pelajar OKU kategori penglihatan yang berkata “Sokongan yang disediakan oleh UMT khususnya dari segi kemudahan pembelajaran, penginapan dan bantuan kebajikan banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.
"Selain itu, penyediaan rakan pembimbing (buddies) amat memudahkan pengurusan diri dan pergerakan harian saya di kampus.
"Persekitaran yang inklusif ini memberi keyakinan kepada saya untuk terus belajar dan membina masa depan seperti pelajar lain.”

Penyediaan ram (susur landai) pejalan kaki sepenuhnya di Kolej Kediaman bagi OKU yang berkerusi roda.
UMT percaya bahawa pembangunan pendidikan tinggi yang sebenar adalah pembangunan insan yang yakin pada identiti, cekal menghadapi perubahan serta mampu menyumbang kepada masa depan negara dengan ilmu, adab dan ihsan.
Justeru, universiti ini akan terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa pelajar OKU sebagai aset negara selaras dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 demi merealisasikan pendidikan tinggi yang inklusif, berkualiti dan berimpak tinggi secara mampan. - KitaReporters/Kenyataan Media

Penyediaan lif khas untuk OKU di Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah.