Kampus & Pendidikan 19 Oct, 2025

Berkampung di Tasik Marina UPSI! Karnival Sukan Air 2025! Anjuran Persatuan Kanu Malaysia dan KBS!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Lebih 1,000 atlet sukan air tempatan 'berkampung' selama tiga hari di Tasik Marina, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim sempena penganjuran Karnival Sukan Air (KSA) 2025.

Tasik Marina UPSI berukuran 530 meter panjang dan kedalaman antara tiga hingga empat meter. Foto UPSI.
Karnival yang bermula 3 hingga 5 Oktober 2025 anjuran Persatuan Kanu Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menampilkan pelbagai acara sukan air seperti perahu panjang, kanu sprint, kanu polo, kanu slalom dan stand up paddle (SUP).

Tasik Marina UPSI yang berukuran 530 meter panjang dengan kedalaman antara tiga hingga empat meter menjadi tumpuan peserta dan pengunjung, sekali gus memperlihat keupayaan universiti itu sebagai pusat pembangunan dan penganjuran sukan air pada peringkat kebangsaan.


Dr. Md Amin Md Taff percaya Tasik Marina mampu menawarkan kemudahan latihan dan pertandingan bertaraf profesional. - Kredit foto UPSI.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, fasiliti Tasik Marina bukan sahaja menawarkan kemudahan latihan dan pertandingan bertaraf profesional, malah menjadi ruang pembelajaran kepada pelajar dalam bidang sains sukan, kejurulatihan dan pendidikan jasmani.

“UPSI komited menjadikan Tasik Marina sebagai hab latihan dan pertandingan bagi sukan air di negara ini dengan menyediakan kemudahan yang sistematik, selamat dan mesra pengguna,” ujar beliau. 

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin, yang turut merakamkan penghargaan terhadap kerjasama strategik UPSI dalam memartabatkan pembangunan sukan air negara.

Menurut beliau, penganjuran karnival itu bukan sahaja memupuk minat masyarakat terhadap aktiviti air, malah memperkukuh ekosistem pembangunan sukan melalui penyertaan pelajar universiti, komuniti setempat dan persatuan sukan kebangsaan.

Azura Abidin (tengah) bersama Dr. Md Amin (kiri) merakam gambar kenangan semasa menerima cenderamata sempena Karnival Sukan Air 2025. - Kredit foto UPSI.
Selain menjadi lokasi pertandingan, Tasik Marina turut dilengkapi kemudahan latihan berteknologi tinggi termasuk jeti serba guna, laluan keselamatan, stor peralatan dan ruang penonton.
Fasiliti tersebut menjadikan UPSI sebagai salah satu institusi pendidikan yang memiliki prasarana sukan air paling lengkap di Malaysia.

Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini dengan penglibatan pelajar sebagai pegawai teknikal, sukarelawan dan pengurus. 

“Penganjuran KSA 2025 ini diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, tetapi turut mengangkat nama UPSI sebagai peneraju pembangunan sukan air universiti di rantau ini,” ujar Azura. - KitaReporters


Para peserta bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI dan penganjur di Tasik Marina, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

10
18
0
11
0
You will be interested