Kampus & Pendidikan 26 Oct, 2025

Berilmu, berakhlak, berjiwa ihsan! Matlamat Multaqa Madani POLYCC! Bagi perkukuh pendidikan TVET!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Seramai 600 pensyarah bidang Pendidikan Islam termasuk 300 pimpinan siswa Islam dari Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) menyertai program Multaqa Madani POLYCC (MPP) 2025 peringkat kebangsaan di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya.
 

Dr Zulkifli Hasan (tengah) bergambar dengan ketua-ketua jabatan pada majlis Multaqa MADANI POLYCC di Putrajaya.


Program yang berlangsung pada 15 Oktober 2025 dengan kerjasama JAKIM, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan Duat Al-Falah, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dan Pusat Islam Politeknik Ungku Omar (PUO) itu sejajar dengan usaha memperkukuh kepimpinan berteraskan nilai Madani serta memperkasa peranan pensyarah dan pelajar POLYCC dalam mendepani cabaran semasa ekosistem pendidikan TVET negara.

Dengan tema "Mengakar Nilai, Menjual Ihsan" ia sarat dengan pelbagai pengisian menarik menjadi medan pengukuhan nilai dan kebijaksanaan baharu dalam membina keseimbangan antara ilmu, kemahiran dan akhirat.


Dr Zulkifli Hasan (empat kiri) ketika peluncuran buku Sedekad Dakwah Berimpak Tinggi JAKIM -POLYCC di Putrajaya.


PUO dalam kenyataan media memberitahu, program ini turut menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Menurutnya, majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dr Zulkifli Hasan itu turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LoI) antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan YADIM sebagai simbol sinergi dalam memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan dan dakwah berteraskan nilai Malaysia Madani di institusi TVET seluruh negara.


Sebahagian tetamu yang hadir pada rogram Multaqa Madani POLYCC di Putrajaya.


Selain itu, turut diadakan peluncuran buku Sedekad Dakwah Berimpak Tinggi YADIM dan POLYCC (2015-2025).

"Kolaborasi ini  bakal memperkukuh pelaksanaan program Rakan Siswa YADIM serta pelbagai inisiatif berimpak tinggi ke arah melahirkan mahasiswa TVET yang berilmu, berakhlak dan berjiwa ihsan," katanya.

Dengan penganjuran Multaqa Madani POLYCC diharap dapat melahirkan kepimpinan berjiwa ihsan dan berakar nilai, sekali gus memperkukuh budaya ilmu dan kepimpinan Islam dalam pendidikan TVET. - KitaReporters

11
19
0
9
0
You will be interested