Kampus & Pendidikan 19 Dec, 2025

Bahasa Rusia ada kelebihan! Institut Pushkin, Universiti UCYP kukuhkan kurikulum Pusat Bahasa Rusia!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Satu sesi perbincangan panel bertajuk “Membangunkan Kerjasama dalam Pendidikan Tinggi” telah berlangsung sebagai sebahagian daripada Forum Pendidikan Rusia-Malaysia yang pertama, sekali gus mengukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua negara. 


Profesor Nikita Vladimirovich Gusev (tengah) berkata, bahasa Rusia kini memiliki kelebihan kompetitif dalam pasaran kerja.


Rektor Institut Pushkin, Profesor Nikita Vladimirovich Gusev, tampil sebagai panelis dengan pembentangan bertajuk Bahasa Rusia sebagai "Pelaburan Masa Depan: Pusat Bahasa Rusia di Malaysia sebagai Platform Latihan Pakar Berdaya Saing dan Pengembangan Kerjasama Akademik". 

Menerusi pembentangan berkenaan beliau menegaskan bahasa Rusia kini memiliki kelebihan kompetitif dalam pasaran kerja serta berperanan sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan hubungan Rusia-Malaysia merentas pelbagai bidang. 

Menurut beliau, penubuhan Pusat Bahasa Rusia hasil kerjasama Institut Pushkin dan Universiti UCYP merupakan inisiatif penting yang bukan sahaja mengukuhkan hubungan akademik, malah membuka ruang pertukaran ilmu, pembelajaran silang budaya dan kerjasama global. 

(UCYP dulunya merujuk kepada Universiti Kolej Yayasan Pahang)


Pusat Bahasa Rusia telah merekodkan penyertaan 96 pelajar daripada pelbagai latar belakang bangsa dan peringkat umur.


Setakat ini, Pusat Bahasa Rusia fizikal pertama yang dikendalikan oleh tenaga pengajar Institut Pushkin, bermula pada Disember 2024, telah merekodkan penyertaan 96 pelajar daripada pelbagai latar belakang bangsa dan peringkat umur. 

Malah, Bahasa Rusia turut diperkenal sebagai kursus elektif dalam kurikulum universiti dan diajar lima hari seminggu selama dua jam sehari, sekali gus memberi kelebihan kompetitif kepada pelajar. 

Selain pengajaran bahasa, pensyarah dan penyelidik Institut Pushkin juga menawarkan kursus berkaitan sejarah, seni, kesusasteraan, falsafah, teknologi baharu dan kecerdasan buatan dalam pendidikan. 

Lebih membanggakan, empat pelajar Universiti UCYP yang terpilih melalui proses pemilihan kompetitif turut menerima jemputan menjalani latihan industri secara fizikal di Institut Pushkin, Moscow. 

Program selama sebulan itu merangkumi latihan intensif bahasa Rusia, pendedahan budaya serta lawatan ke lokasi bersejarah.


Ucapan tahniah daripada pihak UCYP kepada empat pelajar yang terpilih menjalani latihan industri secara fizikal selama sebulan di Institut Pushkin, Moscow.


UCYP University kini menjadi satu-satunya Pusat Bahasa Rusia di rantau ini dan berjaya menarik minat pelajar dari Malaysia serta Asia Tenggara. 

Pelaksanaan kelas bahasa Rusia secara fizikal diteruskan pada tahun 2025 ini selaras dengan perjanjian yang dicapai dalam Mesyuarat Kedua Kumpulan Kerja Rusia-Malaysia mengenai Pendidikan, Sains dan Teknologi. - KitaReporters/Kenyataan Media

19
10
0
10
0
You will be interested