Suresh a/l Mariah (duduk, kiri) bersama Noor Fazliyatun Aida Awang Abu bergambar setelah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Dewan Mesyuarat Perdana SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah.
Daerah Kuala Muda boleh berdepan dengan masalah pembuangan sampah jika tiada langkah-langkah positif dimulakan apabila penduduk di daerah ini bakal mencecah 1 juta orang menjelang 2035.
Usaha dan projek kesedaran memulihara alam sekitar perlu dibincangkan mulai sekarang khususnya pada peringkat sekolah agar kesedaran mengenai masalah sampah dan kesannya dapat diuar-uarkan kepada pelajar-pelajar.
Sehubungan itu, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Sungai Petani dengan Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) dan Kelab Rotary Bandar Sungai Petani berlangsung di Dewan Mesyuarat Perdana SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
Melalui MoU itu, pelbagai perbincangan bakal diadakan dari semasa ke semasa dalam menangani isu berkaitan alam sekitar, terutama tentang pembuangan sampah berikutan jumlah penduduk di daerah Kuala Muda bakal mencecah hampir 1 juta orang menjelang tahun 2035 nanti.
Prabu Sundaramothy (duduk, kiri) bergambar setelah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Dewan Mesyuarat Perdana SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah.
Pihak E-Idaman dari Kedah telah diwakili Suresh a/l Mariah, Mohd Muslim Mat Isa dan Norhafizah Jamaluddin, manakala Kelab Rotary Bandar Sungai Petani diwakili Prabu Sundaramothy, Sharavanan Shanmugam dan Koek Yee Jee.
Penolong Kanan Kokurikulum SMK Khir Johari, Noor Fazliyatun Aida Awang Abu berkata, MoU itu juga bertujuan untuk membincangkan beberapa perkara seperti perancangan dan pengurusan bagi menjayakan pertandingan alam sekitar anjuran Toyota Eco Youth (TEY) Tahun 2025, tidak lama lagi.
Menurutnya, beberapa aktiviti-aktiviti lain juga boleh dilakukan dengan adanya MoU itu.
"Perkara pembuangan sampah oleh penduduk di daerah Kuala Muda dijangka menjadi bertambah serius setelah bilangan penduduk meningkat hampir 1 juta orang menjelang tahun 2035 dan semuanya itu perlu dibincangan secara berhemah oleh agensi berkaitan," katanya.
Menurutnya lagi, ramai guru SMK Khir Johari bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi mengendalikan pelbagai aktiviti, termasuk Pertandingan Alam Sekitar 2025.
Pihak sekolah turut menerima sumbangan RM3,000 dari UMW Toyota setelah empat orang pelajarnya, Stanislas Simon, Laxsyan a/l Nantha Kumar, Muhammad Aiman Ashraff Mohd Anoar, Muhammad Fahree Hasyimi dan guru pengiringnya, Sandra Gesan a/l Balakrishnan menghadiri Majlis Penyampaian Geran Projek 2025 berlangsung di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor pada 28-30 April lalu.
Sandra Gesan a/l Balakrishnan (kiri) bersama Laxsyan a/l Nantha Kumar, Stanislas Simon, Muhammad Aiman Ashraff Mohd Anoar.
Beliau berkata, kerjasama dari orang ramai diperlukan bagi menjayakan satu pertandingan kelestarian alam sekitar anjuran sekolah selepas diadakan MoU itu.
"Sekiranya, masalah pembuangan sampah tidak diuruskan dengan baik oleh penduduk, ia boleh memberi banyak kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar," katanya.
Sementara itu, Ketua Guru Penasihat Kelab Alam Sekitar SMK Khir Johari, Wan Marliani Wan Ali pula berkata, kerjasama diberikan oleh kedua-dua agensi itu akan memberi banyak manfaat sekiranya kempen kesedaran mengenai cara-cara pembuangan sampah, di taman perumahan, pekan-pekan kecil di seluruh daerah Kuala Muda dapat dibuat dengan baik. - KitaReporters