
Seramai 22 orang sukarelawan mahasiswa daripada empat institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah naungan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) telah digerakkan ke Masjid Putra Heights pada 5 April 2025 baru-baru ini yang menjadi lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu mangsa kebakaran berpunca daripada ktragedi letupan paip gas di kawasan perumahan Taman Putra Heights.
Pasukan sukarelawan tersebut terdiri daripada 10 orang pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), lima orang dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), lima orang dari Universiti Utara Malaysia (UUM), dan dua orang dari Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS).

Mereka hadir bertugas secara berjadual, dengan syif pagi bermula seawal jam 7.00 pagi hingga 4.00 petang, yang dikendalikan oleh kumpulan mahasiswa pertama.
Seterusnya, bantuan diteruskan oleh kumpulan mahasiswa dari universiti lain untuk syif petang sehingga malam, bermula 4.00 petang hingga 12.00 malam.
Sukarelawan menjalankan pelbagai tugas antaranya membantu penyediaan makanan dan minuman, menyusun agihan bantuan asas, membersihkan kawasan PPS, serta menghulurkan sokongan moral kepada mangsa terutama warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak yang masih terkesan secara emosi akibat tragedi itu.

Menurut Ridhwan Syahir, pelajar USIM yang juga penyelaras utama sukarelawan IPT bagi operasi kali ini, kehadiran mahasiswa ini membuktikan semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan anak muda.
"Ramai mangsa trauma, tidak sempat selamatkan barang-barang penting, hanya sehelai sepinggang. Kami datang dengan niat untuk bantu setakat yang mampu.
"Kadang-kadang hanya dengan menjadi pendengar juga membuatkan mereka berasa selesa untuk berkongsi cerita dan pengalaman,” katanya.
Tambah Ridhwan lagi, sistem syif yang dilaksanakan membantu memastikan tenaga kerja sentiasa cukup sepanjang hari tanpa membebankan sukarelawan, selain memberi peluang kepada lebih ramai pelajar dari pelbagai universiti untuk turut serta dalam misi kemanusiaan ini.
Pihak pengurusan PPS turut meluahkan rasa terharu atas komitmen para mahasiswa yang sentiasa peka dan tangkas dalam melaksanakan tugas tanpa mengira latar belakang atau asal institusi.
Bantuan turut diselaraskan bersama agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta beberapa NGO yang menyediakan keperluan asas seperti tikar, makanan kering, pakaian bersih dan perkhidmatan perubatan asas.
PPS Masjid Putra Heights dijangka akan terus beroperasi dalam tempoh beberapa hari akan datang sehingga semua mangsa berjaya dipindahkan ke penempatan yang lebih selamat dan selesa.
MASKUM memaklumkan bahawa mereka bersedia untuk menambah kekuatan sukarelawan sekiranya diperlukan dalam tempoh pemulihan ini. - KitaReporters

