
Universiti Multimedia (MMU) memperkenal Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) bagi memperkukuh lagi komitmen universiti dalam memajukan pendidikan dan penyelidikan kecerdasan buatan (AI) di dalam ekonomi digital Malaysia yang sedang berkembang pesat.
Fakulti yang sebelum ini dikenali sebagai Fakulti Kejuruteraan (FOE), kini ditransformasi kepada FAIE bagi melaksanakan sebahagian daripada inisiatif MMU untuk memenuhi keperluan ekonomi digital yang berkembang pesat serta membawa teknologi AI ke tahap yang lebih tinggi.
Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud menyifatkan transformasi ini sebagai keputusan strategik untuk memastikan dengan hala tuju akademik universiti adalah seiring dengan trend global semasa dalam bidang teknologi.
“Integrasi AI gunaan dalam pendidikan kejuruteraan amat penting untuk melahirkan graduan masa hadapan yang memenuhi keperluan industri moden.
“AI sedang mengubah semua aspek kehidupan dengan pantas, dan MMU mahu pelajarnya menjadi penyumbang besar kepada perubahan ini,” tambah beliau.
FAIE diperkenal sempena sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2025 yang diadakan di Dewan Tun Canselor, MMU Cyberjaya pada 28 April 2025.
Majlis bertemakan ‘Merevolusikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan AI dan Pendigitalan Tempat Kerja’ ini telah dirasmikan oleh Steven Sim, Menteri Sumber Manusia.
Turut hadir ialah Dato' Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Sumber Manusia; Amar Huzaimi Md. Deris dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM.

Steven Sim (tengah) melawat reruai FAIE semasa sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2025 di Dewan Tun Canselor, MMU Cyberjaya.
FAIE menawarkan program baharu, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan.
Program tiga tahun ini direka untuk memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dalam teknologi AI termasuk pembelajaran mesin, automasi, dan sistem pintar.
Ia bermatlamat untuk melahirkan graduan yang mampu mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pengangkutan, pertanian, serta perkhidmatan digital peribadi.
Selain itu, program kejuruteraan sedia ada di bawah fakulti juga telah dikemas kini dengan ditambah dengan komponen AI. Ini termasuk program kejuruteraan elektrik, elektronik, elektronik dan telekomunikasi, serta elektronik dengan tumpuan kepada sistem komputer.
Dengan memasukkan elemen AI ke dalam kurikulum kejuruteraan, MMU berhasrat memastikan pelajarnya memperoleh kemahiran teknikal lanjutan yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi digital.
Untuk menyokong transformasi ini, FAIE dilengkapi dengan makmal dan kemudahan penyelidikan baharu yang memfokuskan kepada teknologi AI.
Kemudahan ini bertujuan menggalakkan pembelajaran dan penyelidikan secara praktikal sambil memupuk kerjasama antara pelajar, staf akademik, dan rakan industri.
Ia juga berfungsi sebagai hab inovasi, menghubungkan kemajuan akademik dengan aplikasi dunia sebenar.
MMU turut terus memperkukuh ekosistem pendidikan AI yang lebih luas dengan menawarkan program berteraskan AI seperti Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan dan Sarjana Teknologi Maklumat dalam Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber yang ditawarkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat.
Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan misi berterusan MMU untuk melahirkan graduan berfikiran ke hadapan yang mampu menerajui kemajuan teknologi di Malaysia dan peringkat global. - KitaReporters/Kenyataan Media
 
                                                                                     
                                 
                                     
                                     
                                    