Fasilatator program memberi tunjuk ajar kepada salah seorang peserta Guru Takmir cara penggunaan teknologi AI.
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, melancarkan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Berkredit, yang kini disertai 20 Guru Takmir dari zon utara dalam kohort pertamanya bertempat di Pusat ICT, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI pada 16 hingga 18 Ogos 2024.
Ketua Jabatan Bahasa Moden UPSI, Dr Taj Rijal Muhamad Romli, berkata penganjuran program itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh pelbagai pihak.
Menurutnya, menerusi program berkenaan peserta dan guru yang
menyertai PSH dijangka dapat membawa ilmu, termasuk kaedah pembelajaran terkini
kembali ke komuniti masing-masing membantu meningkatkan tahap pendidikan di
negara.
“PSH berkredit ini bertujuan membolehkan pendidikan diakses oleh semua golongan tanpa mengira umur atau latar belakang,” ujarnya.
Para peserta diberi penerangan dalam slot program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) berkredit di Pusat ICT, UPSI.
Program PSH berkredit itu dilaksanakan secara dalam talian, menyediakan platform bagi peserta daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang untuk berkongsi pengalaman serta menimba ilmu bersama-sama.
Sepanjang program itu, peserta didedahkan kepada banyak modul yang merangkumi pelbagai bidang ilmu, termasuk kaedah pembelajaran terkini yang relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.
Antara kaedah dipelajari adalah teknik pengajaran
berpusatkan pelajar, penggunaan teknologi dalam bilik darjah dan pendekatan
pembelajaran aktif yang boleh diaplikasikan dalam konteks pengajaran Guru Takmir.
Peserta juga didedahkan dengan pelbagai sumber kitab Turath Islam dan juga penggunaan AI seperti Aplikasi ChatGPT dalam menyokong proses pembelajaran sepanjang hayat itu.
Taj Rijal berkata, UPSI amat menghargai dan berterima kasih kepada pihak Takmir Zon Utara yang diketuai Ustaz Mohd Azmi Masjuri dan KIBAS Enterprise atas sokongan, bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program itu.
"Program ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh keupayaan dan kompetensi Guru Takmir dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka secara profesional serta memberi penekanan kepada kemahiran insaniah peserta, seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan yang penting dalam melahirkan guru lebih berdaya saing serta berintegriti,” katanya.
Mohd Azmi Masjuri (dua dari kiri) menerima Sijil Pencapaian.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Takmir Negeri Perak, Mohd Azmi
Masjuri menegaskan bahawa pentauliahan itu bukan sahaja untuk meningkatkan
kredibiliti Guru Takmir tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan
mereka dalam membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak mulia.
Tambahnya, Guru Takmir memainkan peranan yang amat penting
dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat terutama di kawasan pedalaman
kerana kompetensi dan kefahaman yang mendalam terhadap ilmu agama adalah sangat
penting.
“Guru Takmir harus sentiasa berusaha untuk mengembangkan
potensi diri mereka supaya dapat menyampaikan ilmu yang terbaik kepada
masyarakat.
“Peserta perlu terus berusaha dalam meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui latihan berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat,” ujar beliau lagi. - KitaReporters
Mohd Azmi (duduk empat dari kiri) bersama-sama anggota pelaksana dan peserta Guru Takmir.