Kampus & Pendidikan 06 Aug, 2024

Inovasi bahan bantu mengajar! Kit KIMDSB UPSI beri kefahaman kedudukan imam, makmum! Guna barang DIY!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


MAHASISWA dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menghasilkan satu inovasi dalam pendidikan yang dikenali sebagai Kit Kedudukan Imam dan Makmum Dalam Solat Berjemaah (KIMDSB) bagi mewujudkan sistem pembelajaran yang lebih efektif kepada murid.

Kit KIMDSB ini merupakan bahan bantu mengajar (BBM) yang dihasilkan bagi membantu guru mengajar murid berkenaan tajuk Kedudukan Imam dan Makmum dalam Solat Berjemaah.

Pereka Kit KIMDSB, Ustaz Faiz Hilmi, berkata melalui kit itu akan meningkatkan kefahaman serta perkembangan kognitif murid dalam tajuk pembelajaran berkenaan.


Dr Kama Shaffeei (kiri) bersama Ustaz Faiz Hilmi yang menghasilkan Kit KIMDSB.


“Kit ini menjadi satu keperluan kepada kepada murid bagi memudahkan mereka menguasai tajuk KIMDSB sekali gus menjadi BBM kepada guru.

“Penghasilan Kit KIMDSB hanya menggunakan barang DIY sahaja seperti gambar laminasi, kad perkataan, putik kapas, pita pelekat, pita Velcro dan pistol gam lilin elektrik.

“Kit ini juga boleh digunakan kepada murid berpendidikan rendah seperti murid Sekolah Rendah Kebangsaan dan murid Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) yang mengambil subjek Pendidikan Agama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah, Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (PIPP) UPSI, Dr Kama Shaffeei, berkata Kit KIMDSB itu berpeluang untuk dikomersialkan dan dijadikan BBM di semua sekolah seluruh Malaysia.

“Murid berupaya menguasai tajuk dengan lebih mudah dan efektif, sekali gus mampu menarik perhatian murid dalam pembelajaran,” ujar beliau. - KItaReporters


Kit  KIMDSB untuk membantu guru mengajar murid berkenaan tajuk Kedudukan Imam dan Makmum dalam Solat Berjemaah.

18
8
0
4
0
You will be interested