Kampus & Pendidikan 18 Nov, 2021

KPT cipta sejarah baharu! Tubuh MUFA! Sasar lahirkan lebih ramai The Thinking Footballer di IPT!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengorak langkah baharu dalam usaha mentransformasi sukan bola sepak di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) apabila secara rasmi melancarkan penubuhan Persatuan Bola Sepak Universiti Malaysia (MUFA) pada Rabu, 17 November 2021 lalu.

Penubuhan itu dilihat selaras dengan hasrat KPT yang bukan sahaja mahu memperkasakan bola sepak universiti malah menjadi pemangkin kepada bola sepak negara dengan menjadikan IPT sebagai kilang melahirkan pemain serta pegawai bola sepak yang cemerlang.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan sukan bola sepak


Dr Zabri Yusoff (tengah) melancarkan penubuhan MUFA dan kejohanan bola sepak Piala Pra-Universiti. - Kredit foto: FB Sukan IPT


Berucap merasmikan persatuan itu secara hibrid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff berkata, penubuhan MUFA bukan sahaja mencipta sejarah baharu kepada universiti malah dilihat sebagai langkah tepat agar bola sepak IPT berkembang lebih pesat.

Menurut Zabri, Liga IPT yang dianjurkan sejak 2010 sudah berjaya melahirkan beberapa orang pemain yang mampu menyarung jersi pasukan kebangsaan, antaranya, Mahali Jasuli, Amirizdwan Taj Tajuddin, K Reuben dan Bunyamin Omar. 

Justeru beliau yakin dengan wujudnya MUFA, lebih ramai pemain berwibawa mampu dilahirkan.

MUFA telah diluluskan pendaftarannya oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) pada Ogos 2021 lalu, sekali gus membuka lembaran baru dalam arena bola sepak negara khususnya untuk membolehkan IPT memperkemaskan lagi struktur organisasi, melahirkan lebih ramai tenaga jurulatih dan pengadil dalaman serta meningkatkan kualiti pemain bola sepak IPT di negara ini.

“Saya percaya sekiranya MUFA diterima sebagai ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), program pembangunan akar umbi serta urus tadbir berkaitan sukan bola sepak pada peringkat IPT semakin kemas dan mampu menjadi penyumbang utama kepada skuad kebangsaan suatu hari nanti,” katanya.



Difahamkan, walaupun tiada paksaan untuk pasukan bola sepak IPT bernaung di bawah MUFA namun secara dasarnya KPT berharap semua IPT menyertai persatuan itu bagi sama-sama mengembeleng tenaga dalam memperkasakan bola sepak universiti serta menjalankan program akar umbi bersama, di samping menikmati semua peruntukan yang disediakan.

“Keutamaan kami adalah kepada ahli gabungan MUFA yang mana mereka bukan sahaja akan diberikan peruntukan malah dipilih menyertai pelbagai program seperti kejurulatihan dan pengadilan serta pembangunan pemain akar umbi.

 “Kami juga akan membentuk sebuah pasukan yang akan menyertai Liga Malaysia, bermula dengan Liga M3 yang mana bakal menjadi platform melahirkan bakat-bakat baharu dalam kalangan penuntut universiti,” kata Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Dr Pekan Ramli.


Dr Zabri (tengah) diiringi Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPT, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Dr Pekan Ramli, memperagakan piala kejohanan Pra-Universiti. - Kredit foto: KPT.


Sementara itu, pada majlis sama, Dr Zabri turut melancarkan Kejohanan Bola Sepak Piala Pra-Universiti 2021 yang akan berlangsung pada 20-27 November 2021 di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Kejohanan membabitkan pemain-pemain remaja dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) sebanyak dua pasukan (AMD A & AMD B), Akademi Bola Sepak Felda (ABSF) dan Pasukan Bola Sepak Universiti Malaysia (MUFT).

Inisiatif ini diambil bagi memberikan ruang kepada pemain-pemain muda yang bakal bertaraf lulusan semua akademi terbabit untuk mempamerkan bakat dan kehebatan mereka serta menyediakan ‘platform’ terbuka untuk diintai oleh mana-mana pasukan atau kelab bagi menyambung kerjaya dalam bidang bola sepak.

Namun, pada masa sama, KPT akan turut membuka peluang kepada mana-mana pemain yang gagal mendapatkan tempat dengan sebarang kelab untuk meneruskan kariernya di menara gading.



“Sekiranya ada lulusan akademi yang tercicir atau terpinggir daripada dipilih oleh mana-mana pasukan atau kelab, kejohanan ini akan menjadi batu loncatan untuk mereka dipilih menyambung kerjaya sebagai pemain dan juga pelajar di IPT sekiranya terdapat IPT yang berminat dengan bakat mereka.

“Perkara ini secara tidak langsung akan meneruskan usaha KPT untuk melahirkan lebih ramai ‘The Thinking Athlete’ atau di sini lebih kepada ‘The Thinking Footballer’.

“Kejayaan skuad Bawah 23 Tahun (B23) negara layak ke pusingan akhir Piala Asia 2022 B-23 di Uzbekistan harus menjadi penanda aras untuk sukan ini terus berkembang. Momentum ini perlu diteruskan dan KPT akan bersama menjayakan impian itu,” kata Dr Zabri. - KitaReporters


11
8
0
12
0
You will be interested