Kampus & Pendidikan 30 Oct, 2020

Pakej Pelan Data dan Peranti - Hadiah untuk pelajar IPT

@suhana abdul mutalib
Pensyarah di Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) merangkap Pegawai Khas Media Naib Canselor UniMAP. Bekas wartawan dan pernah berkhidmat dengan akhbar Utusan Malaysia, Harian Metro dan Berita Harian.

Share this

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyambut baik inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan pakej data dan peranti untuk kemudahan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.



Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, peruntukan RM3.8 juta oleh KPT khusus untuk bantuan tunai kepada pelajar yang baharu mendaftar masuk di semua IPT merupakan satu langkah tepat bagi menyemarakkan semangat pelajar menjalani fasa baharu alam pengajian tinggi masing-masing.

Menurut beliau, saban tahun minggu pendaftaran dan minggu suai kenal merupakan detik yang cukup berharga buat pelajar baharu membiasakan diri dengan kehidupan kampus namun pada sesi kali ini, pengalaman baharu itu terpaksa dilupakan seketika dan hanya mengikuti PdP dari kediaman masing-masing.

Selain itu, ujar Prof. R Badlishah, insentif yang disediakan kepada pelajar sedia ada juga terutama pakej pelan data interaktif istimewa kepada semua pelajar IPT pastinya dapat memberi lebih pilihan kepada pelajar untuk memilih pelan data dengan liputan terbaik mengikut lokasi masing-masing.



“Dalam situasi seperti ini, kepelbagaian tawaran oleh syarikat telekomunikasi merupakan antara elemen penting dalam memastikan pelajar diberi pilihan nilai yang terbaik berdasarkan kepada taburan Universiti Awam (UA) di seluruh negara berbanding pemilihan satu syarikat telekomunikasi sahaja.

“Tidak ketinggalan, diskaun intimewa yang diberikan kepada pelajar untuk pembelian peranti turut membuktikan bahawa KPT berusaha untuk memenuhi keperluan semua peringkat pelajar,” ujarnya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad hari ini (30 Oktober 2020) melancarkan Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar IPT dengan peruntukan keseluruhan berjumlah hampir RM40 juta.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan turut menyambut baik inisiatif yang diambil oleh KPT terutama yang membabitkan pelajar B40.

Ujar beliau, dalam situasi sekarang, golongan yang paling terkesan adalah dari kategori B40 terutama bagi kategori keluarga yang hilang punca pendapatan susulan pandemik COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.

Tambahnya, UniMAP sebelum ini turut menyediakan peruntukan berjumlah RM1.18 juta bagi membantu pelajar kategori B40 melalui pelancaran Insentif Khas Kasih UniMAP meliputi tujuh inisiatif yang diharap dapat memberikan suntikan motivasi kepada pelajar untuk menguruskan kewangan dan kemudahan pengajaran.



“Kita harus akui, semua pihak terkesan dengan pandemik ini, namun pada masa sama universiti dan KPT perlu berganding bahu memikirkan langkah terbaik untuk membantu golongan yang paling terkesan dengan situasi masa kini.

“Justeru, pelancaran yang dibuat oleh KPT sebentar tadi adalah tepat pada masanya dan harus diakui ia merupakan satu inisiatif yang mantap dalam memastikan pelajar dapat menjalani PdP dengan sempurna,” jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP, Syahirunnisa Ramli menzahirkan rasa gembira apabila cadangan yang dikemukakan MPP UA melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) diterima dan dilaksanakan oleh pihak KPT.

Sebagai wakil pelajar, jelasnya, masalah data dan peranti merupakan antara perkara yang sering dibangkitkan oleh pelajar dalam mengikuti PdP secara dalam talian terutama apabila membabitkan tugasan berkumpulan.

“Ada juga sebahagian menggunakan komputer riba yang lama dan kurang sesuai dengan perisian terkini terutama bagi mahasiswa dari bidang kejuruteraan dan teknologi. Selain itu penggunaan Internet dan data ini tidak hanya terhad kepada kuliah yang dikendalikan oleh pensyarah, sebaliknya pelajar juga perlu melakukan perbincangan berkumpulan bagi melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Meskipun ini merupakan antara perkara yang diperjuangkan oleh MPKK, namun saya percaya universiti dan KPT sentiasa cakna akan keperluan pelajar justeru pelancaran pakej data dan peranti oleh KPT hari ini merupakan berita gembira buat semua pelajar,” katanya.

11
0
0
0
0
You will be interested