Kampus & Pendidikan 06 Jun, 2025

Tahu tak? 1 daripada 6 dewasa ada penyakit buah pinggang kronik! Trend membimbangkan! Wabak senyap!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

.


Penyakit buah pinggang kronik (CKD) di Malaysia amat membimbangkan. Ia ibarat wabak senyap seperti api dalam sekam dan pesakit hanya menyedari menjadi mangsa apabila keadaan sudah parah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan bahawa kira-kita 9,500 pesakit baharu didaftarkan setiap tahun memerlukan rawatan dialisis, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit CKD di negara ini mencecah kira-kira 4.7 juta orang.

Tahukah anda satu daripada enam orang dewasa Malaysia menghidap CKD. Malah, KKM melaporkan lebih 50,000 individu dengan penyakit buah pinggang tahap akhir (ESRD) menjalani rawatan dialisis pada 2023, dan jumlah ini dijangka meningkat lebih 106,000 menjelang tahun 2040.


Pengunjung boleh memeriksa jenis darah mereka sama ada A, O atau AB di reruai  disediakan.


Peningkatan kes CKD ini memberi impak besar kepada sistem penjagaan kesihatan negara. 

Pada tahun 2022, kos rawatan dialisis  mencecah RM1.12 bilion, dan jumlah ini dijangka meningkat kepada RM3.2 bilion menjelang tahun 2040 jika tiada langkah pencegahan berkesan.

Untuk menangani isu ini, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Jabatan Perubatan Kesihatan Awam (JPKA), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Kolej Ibu Zain menganjurkan Karnival Kesihatan sempena Hari Kesihatan Sedunia peringkat UKM.

Antara aktiviti diadakan termasuk Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Ceramah Kesihatan, Demonstrasi Masakan Sihat yang mesra buah pinggang, Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun, Mini Explorace dan Cabutan Bertuah.


Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak sempena Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat UKM.


Pengarah Program Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat UKM, Dr Muhammad Yusuf Abu Shamsi berkata, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari mereka menghidap CKD sehingga ia mencapai peringkat lanjut, kerana gejala seperti keletihan atau bengkak sering muncul lewat.

Beliau berkata, dengan lebih 50,000 rakyat Malaysia menjalani dialisis, kos rawatan membebankan keluarga, justeru pencegahan melalui diet dan pengesanan awal bukan sekadar bijak tapi menyelamatkan nyawa.

"Bilangan individu didiagnosis CKD meningkat setiap tahun, dengan lebih 10,000 pesakit baharu dikenal pasti memerlukan dialisis dalam tempoh tiga tahun lalu. 

"Diabetes yang tidak terkawal dalam jangka masa panjang boleh merosakkan buah pinggang, meningkatkan risiko kegagalan buah pinggang.

"Setiap tahun dianggarkan lebih 9,000 orang mendaftar sebagai pesakit, manakala lebih 5,000 pesakit sedang menunggu transplan derma buah pinggang," katanya.


Dr Muhammad Yusuf Abu Shamsi


Demonstrasi Masakan Sihat yang mesra buah pinggang memberi panduan cara memasak yang ideal.


Karnival Kesihatan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2025 UKM dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor UKM,  Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor. Turut hadir, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Datin Dr Marina Mat Baki.   

Katanya, sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia adalah titik tolak perubahan gaya hidup, bukan sekadar acara tahunan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan penggunaan rawatan alternatif daripada sosial media seperti TikTok dan FB yang menyumbang kepada peningkatan kerosakan buah pinggang kerana orang ramai mengambil suplemen tanpa khidmat nasihat doktor bertauliah. 

"Sebagai contoh ada pesakit mengambil jus suplemen menyebabkan kemerosotan buah pinggang lebih teruk dan bacaan potassium semakin tinggi. 

"Malah, mereka lebih mempercayai info yang diberikan dalam media sosial berbanding nasihat doktor bertauliah," katanya.


Dr Abdul Halim Abdul Gafor tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada kumpulan The Thrombus Thrusted yang menjadi juara acara Mini Explorace.


Justeru, beliau menasihatkan orang ramai mengelak terlalu percaya dengan promosi dalam media sosial kononnya penyakit buah pinggang boleh di "reverse" cuma ia boleh dikawal atau melambatkan proses buah pinggang menjadi serius dan terpaksa menjalani rawatan dialisis," katanya.

"Jika seseorang alpa dan terus mengambil makanan berkalori tinggi, garam tinggi, manisan serta makanan berminyak, ia berisiko menghidap darah tinggi dan diabetes, seterusnya penyakit buah pinggang. 

"Diet penting dalam mencegah dan mengurus CKD. Pemakanan yang seimbang boleh membantu melindungi fungsi buah pinggang, melambatkan perkembangan penyakit dan mengurangkan komplikasi," katanya. 


Kaunter nasihat untuk mereka yang mahu berhenti rokok atau vape juga disediakan.


Beliau turut menyarankan senaman secara berkala, memantau pengambilan kalori harian untuk mengurangkan obesiti, diabetes, penyakit jantung dan kerosakan buah pinggang selain menjalani ujian darah dan air kencing.

"Lakukan saringan buah pinggang setahun sekali apabila berumur 40 tahun ke atas terutama bagi penyakit kencing manis atau darah tinggi. Ini termasuk individu yang mempunyai sejarah keluarga pesakit buah pinggang kronik," katanya lagi. - KitaReporters


Forum Kesihatan menampilkan pengalaman sebenar pesakit buah pinggang selain nasihat pakar untuk mengelak gejala itu.


20
14
0
12
0
You will be interested