Kampus & Pendidikan 23 Jul, 2024

Bila ABAH Bersuara| Pelajar cemerlang usah dibiar tercicir! Jumlah terus bertambah! Apa perancangan?

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 


Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumum Mei 2024 lalu menyaksikan 11,713 calon memperoleh kejayaan cemerlang dengan memperoleh semua A dalam mata pelajaran, daripada 383,685 calon keseluruhan.

Kedudukan ini menampakkan pertumbuhan positif berbanding 10,190 calon yang memperoleh semua A pada SPM 2022. Pada tahun tersebut, sejumlah 373,974 calon menduduki peperiksaan.

Dari segi pencapaian keseluruhan, sejumlah 226,358 daripada 373,255 calon atau 60.6 peratus yang menduduki SPM 2023 sekurang-kurangnya lulus dalam semua subjek diambil, berbanding 57.1 peratus atau 213,624 calon pada SPM 2022.

Nilai Gred Purata Kebangsaan (GPK) juga bertambah baik pada kedudukan 4.40 berbanding 4.74 bagi tahun 2022. Semakin kecil nilai PGK, bertambah baik pencapaian calon pada keseluruhannya. Ini yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khasnya dan sekolah amnya.



Namun sementara kejayaan cemerlang menjadi idaman, ada kala ia juga boleh menimbulkan masalah. Ini berlaku apabila tidak semua yang berjaya akan beroleh tempat untuk melanjutan pelajaran ke peringkat tinggi.

Boleh dikatakan ini berlaku setiap tahun apabila keputusan peperiksaan diumum. Ramai pelajar yang layak gagal mendapat tempat meneruskan pengajian sama ada ke kolej matrikulasi Kementerian Pendidikan, program diploma, program asasi, politeknik atau Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Punca utama ini berlaku kerana tempat yang ada terhad untuk menampung semua pelajar yang memohon. Jumlah pelajar cemerlang, serta yang layak memohon, melebihi daripada kemampuan institusi pengajian yang ada untuk menyerap mereka.

Kerana itu proses pemilihan dijalankan dengan teliti dan melalui tapisan ketat. Dalam pelaksanaan proses ini tidak dapat dielakkan akan ada pelajar tidak lepas tapisan sekali pun keputusan cemerlang berada dalam tangan.

Oleh itu hindarkan tanggapan kegagalan mendapat tempat disengajakan atau ada usaha menafikan calon menyambung pengajian. Kapasiti setiap institusi, fasiliti serta tenaga pengajar menjadi kekangan untuk menerima semua yang layak.



Keadaan sama berlaku tahun ini (2024). Selepas keputusan kemasukan ke institusi pengajian bagi lepasan SPM diumum, ramai pelajar tercicir. Pelajar yang memperoleh kejayaan cemerlang turut tidak tersenarai. Mereka kecewa, mengeluh dan merayu diberi tempat.

Keluhan dan rayuan mereka mendapat perhatian kerajaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengarahkan semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 10 A diberi tempat melanjutkan pelajaran ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan.

Para pelajar ini sangat bertuah nasib dibela. Yang tercicir dan membuat rayuan diberi penempatan secara berperingkat-peringkat melalui pemilihan kedua. Pada akhirnya semua yang layak bakal mendapat tempat. 

Oleh itu bagi yang terpilih, gunakan peluang sebaik-baiknya untuk terus maju jaya dalam pelajaran hingga ke universiti.



Bagi mereka yang berminat untuk Jom Masuk KUIPs, permohonon boleh dilakukan dengan klik pada link berikut: https://istudent.kuips.edu.my/register?rid=AGN0137


Hakikat yang perlu diterima ialah jumlah calon SPM bertambah setiap tahun. Oleh itu jumlah yang mampu beroleh kejayaan cemerlang dijangka meningkat. Ekoran itu, keperluan penempatan untuk lulusan juga semakin bertambah.

Dalam usaha menangani isu ini, kerajaan perlu menyediakan pelan jangka panjang dan melaksanakan pelbagai langkah sebagai memenuhi keperluan masa hadapan. Ini termasuk menambah kapasiti dan fasiliti tempat pengajian serta memastikan tenaga pengajar mencukupi. Tentunya perkara ini dalam perhatian serius kerajaan.

Diharap dengan usaha ini pelajar yang berjaya setelah bertungkus lumus belajar tidak akan merasa tersisih kerana tidak terpilih melanjutkan pelajaran. Mereka adalah harta bernilai untuk negara, malah bakal pemimpin masa hadapan. - KitaReporters



15
15
0
13
0
You will be interested