Kampus & Pendidikan 17 Nov, 2025

Peluang terbaik! Bekas pemain negara, jurulatih genggam ijazah! Yayasan Lagenda, SIUC jambatan impian!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Bagi ramai bekas pemain bola sepak kebangsaan, perjalanan selepas meninggalkan padang sering kali lebih mencabar daripada permainan 90 minit. 

Azlan Johar (depan, kanan) dan Dollah Salleh (belakang, kanan) ketika mewakili negara menyertai Piala Merdeka pada 1984.
Tanpa hala tuju yang jelas, sebahagian mereka tercari-cari peluang baharu, namun kini, peluang kedua terbuka buat mereka menerusi inisiatif Yayasan Lagenda dan Spectrum International University College (SIUC).
Melalui kerjasama ini, bekas pemain dan jurulatih berkelayakan boleh melanjutkan pengajian dengan pembiayaan penuh. 

Malah lebih menarik pengalaman mereka mewakili negara dikira sebagai kredit akademik -- buat pertama kalinya pengorbanan di padang diterjemahkan menjadi nilai pendidikan yang rasmi.

Di sebalik peluang ini berdiri sosok yang menjadi inspirasi -- bekas pemain negara yang juga Pengasas dan Pengerusi Yayasan Lagenda, Azlan Johar yang kembali menjadi pelajar. 

“Saya perlu jadi lebih cerdik supaya kerja saya lebih tersusun. Kalau saya boleh belajar, takkan mereka tak boleh. Selagi mampu, kita jangan berhenti menimba ilmu,” katanya ketika ditemui sempena Konvokesyen kedua SIUC di Putrajaya pada Ahad 16 November 2025.

Turut hadir Pengerusi SIUC, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dollah Salleh.


Azlan Johar.

Kata-kata Azlan bukan sekadar retorik kosong, sebaliknya beliau kini mengikuti pengajian peringkat Master (Sarjana) dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan tidak menolak kemungkinan meneruskan langkah ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). 

Langkahnya itu menjadi pemangkin kepada rakan-rakan seangkatan seperti Dollah dan P. Maniam yang akan turut menyertai program sama.

Menerusi pembelajaran secara dalam talian di SIUC, bekas pemain dan jurulatih boleh belajar dari rumah tanpa menjejaskan komitmen kerja atau keluarga. 
Ia membuka ruang kepada mereka untuk menambah ilmu perniagaan, pengurusan sukan dan pelbagai bidang baharu yang lebih relevan dengan kehidupan selepas persaraan.
Malah penganalisis dan pengulas sukan tempatan itu melihat sendiri betapa ramai bekas pemain yang terjerumus dalam kegagalan perniagaan atau hilang punca pendapatan kerana kurang pengetahuan. 

Inisiatif ini menjadi peluang kedua untuk membina semula keyakinan dan masa depan. 

“Saya selalu fikir, macam mana nak bantu kawan-kawan bekas pemain. Ramai yang ada bakat, cuma tak tahu arah. Dengan ilmu, mereka boleh rancang hidup mereka semula,” ujar bekas penyerang negara dari 1983 hingga 1987 itu.

Bagi Azlan, pendidikan bukan hanya tentang sijil, tetapi tentang maruah. Ia memberi peluang kepada bekas pemain untuk memahami dunia luar padang -- mencari peluang, menilai risiko dan menyusun langkah masa depan.

“Kami membiayai sepenuhnya yuran pengajian untuk sambung pelajaran sampai ke peringkat mana sekalipun. Kami akan cuba membiayai sepenuhnya. Kami akan cari dana untuk memastikan kos pengajian dibiayai,” katanya.


Dollah Salleh.

Dalam pada itu, bagi Dollah, perjalanan kembali ke dunia akademik membuka satu dimensi baharu dalam kehidupannya. 

Walaupun pada awalnya beliau menganggap belajar pada usia ini sebagai sesuatu yang sukar, namun semangat itu muncul apabila beliau melihat manfaat jangka panjangnya. 

“Pada mulanya saya pun cakap susahlah… tapi lama-kelamaan nampak macam benda yang baik,” katanya.

Apa yang membuatkan langkah ini lebih berat pada awalnya ialah hakikat bahawa dunia akademik bukan tempat yang biasa untuk bekas pemain senior sepertinya. 

Namun selepas berbincang dengan Azlan, beliau sedar bahawa kehadirannya dalam kelas mampu memberi inspirasi kepada generasi lebih muda. 

“Kita menunjukkan satu contoh kepada budak-budak muda yang baru naik ini semua,” katanya sambil menekankan bahawa pendidikan adalah aset masa depan.

Pemilihannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan Sukan pula lahir daripada pengalaman panjangnya dalam bola sepak profesional. 

Malah beliau yang berada dalam FAM mula melihat sisi lain industri bola sepak -- bahagian pengurusan, struktur operasi dan aspek pembangunan. 

“Banyak sebenarnya bahagian pengurusan boleh membantu kalau saya ambil bahagian sukan ini,” jelasnya, menggambarkan betapa ilmu formal mampu mengukuhkan peranannya.

Biarpun masih memegang jawatan nombor tiga dalam FAM, kaedah pembelajaran secara atas talian menjadikan perjalanan akademiknya lebih fleksibel dan tidak melihat kerjaya sebagai halangan. 

“Tak jadi masalah… lebihnya saya buang masa saja,” katanya sambil ketawa menunjukkan keyakinannya bahawa setiap orang mampu meluangkan masa untuk ilmu jika benar-benar mahu.


Dr Mohamed Salleh (tengah) ketika sidang media sempena Konvokesyen SIUC di Putrajaya.

Sementara itu, Dr Mohamed Salleh pula melihat bahawa kemasukan bekas pemain Harimau Malaya ke dalam program pengajian ini bukan sekadar inisiatif biasa, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap jasa dan pengalaman mereka. 

Katanya, ramai pemain terdahulu tidak berpeluang mengejar pendidikan tinggi kerana komitmen terhadap pasukan kebangsaan, justeru platform seperti ini membuka ruang baharu yang selama ini terpinggir.

Malah beliau menyifatkan bekas pemain sebagai kumpulan yang mempunyai disiplin, komitmen dan pengalaman kerja yang tinggi, menjadikan mereka calon ideal untuk laluan pengajian fleksibel seperti Pembelajaran Jarak Jauh Terbuka (ODL) dan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

“Mereka ini bukan datang kosong. Pengalaman mereka bertahun-tahun dalam pasukan kebangsaan sebenarnya adalah nilai akademik yang boleh diiktiraf,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa melalui mekanisme APEL, universiti dapat menukar pengalaman profesional para pemain kepada kredit akademik. 

“Ini membolehkan mereka memendekkan tempoh pengajian -- daripada bertahun-tahun kepada hanya beberapa bulan jika pengalaman mereka memenuhi kriteria tertentu,” katanya.

Menurut Dr Mohamed Salleh, SIUC memberi ruang kepada pemain yang sudah lama meninggalkan padang untuk membina semula keyakinan diri melalui pendidikan. 

“Ada antara mereka mungkin rasa sudah lambat untuk belajar semula. Tetapi kita tunjukkan bahawa pendidikan ini tidak memilih usia, latar belakang atau kerjaya terdahulu,” jelasnya.

Beliau turut memuji kerjasama Yayasan Lagenda yang menyediakan pembiayaan bagi meringankan beban para pemain dan memberi motivasi tambahan kepada mereka yang sebelum ini terkekang dengan faktor kewangan. 

“Kalau bayaran pun kita permudahkan, peluang belajar pun kita bukakan, tidak ada sebab mereka tidak boleh berjaya,” katanya. - KitaReporters


Azlan (duduk, lima dari kiri) semasa bersama Selangor menjulang Piala Malaysia edisi 1986.

12
15
0
8
0
You will be interested