
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membentangkan cadangan penambahbaikan bagi mempertingkat kadar pembayaran balik pinjaman pendidikan tanpa membebankan peminjam.
Kertas cadangan penambahbaikan itu, katanya, perlu dibentangkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Isnin, 17 Mac 2025 untuk meneliti perkembangan sektor pendidikan tinggi negara.
"Antara isu utama yang dibincangkan adalah persiapan generasi masa depan dalam menerokai bidang Science, Technology, Engineering, and Mathematics (STEM), dengan tumpuan kepada industri semikonduktor yang kian berkembang pesat.
"Saya juga meneliti isu kadar pembayaran balik (pinjaman) PTPTN yang masih rendah dan menyedari kepentingan memastikan kelestarian dana ini agar generasi akan datang terus mendapat manfaat.
"Justeru, saya telah mengarahkan pihak pengurusan PTPTN untuk membentangkan cadangan penambahbaikan selepas Aidilfitri bagi mempertingkat kadar pembayaran balik tanpa membebankan peminjam," tegas Perdana Menteri.

Pada sebelah tengah hari ini, Anwar sempat menghadiri program Ihya Ramadan anjuran KPT dan turut berjumpa pengurusan tertinggi dan warga KPT.
Tazkirah telah disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti, Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, bertajuk “Maqasid Al-Quran dan Masyarakat Madani” diikuti solat fardu Zuhur berjemaah. - KitaReporters/Kenyataan Media
