Kampus & Pendidikan 14 Jun, 2023

Tahniah Saniy Samsudin! Berlepas ke Amerika Syarikat! Sebagai Felow Akademik di University of Texas!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Berasaskan bakat kepemimpinan dan kecemerlangan akademik, seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin dipilih sebagai Felow Akademik di University of Texas sebagai salah seorang pemimpin muda Asia Tenggara.

Muhammad Saniy, 25, merupakan Pelajar Sarjana Muda tahun akhir di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) UUM, dipilih untuk menyertai program Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) selama setahun.
Program Felow Akademik YSEALI ini bertujuan memupuk satu rangkaian serantau belia ASEAN untuk bekerjasama dalam menyelesaikan cabaran bersama dan mencipta peluang baru.
Semasa di sana Muhammad Saniy bersama pemimpin belia dari Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam akan berbincang dan mengkaji perkembangan, sejarah, cabaran dan kejayaan perusahaan dan pemimpin masyarakat di Amerika Syarikat serta pada peringkat global. 
Segala perbelanjaan dan tiket penerbangan dibiayai Jabatan Negara Amerika Syarikat di bawah YSEALI.


Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan turut gembira dengan pemilihan Muhammad Saniy dan mengharapkan beliau dapat memanfaatkan pendedahan pada peringkat global itu untuk memanfaatkan masyarakat Malaysia nanti.
Beliau berkata, peluang yang diberikan kepada siswa UUM pada peringkat antarabangsa ini membuktikan pelajar dari kampus ini sentiasa ke hadapan baik pada peringkat akademik mahu pun untuk berkongsi idea inovatif dalam bidang keusahawanan sosial  dan pembangunan ekonomi.
 “Pemilihan ini agat sengit tetapi Muhammad Saniy berjaya terpilih selepas melalui saringan yang agak ketat dan saya yakin beliau mampu menunjukkan kelebihan UUM berbanding dengan institusi lain di seluruh dunia.
“Walaupun UUM berada jauh ke utara Semenanjung tetapi keupayaan pelajar UUM untuk muncul cemerlang pad a peringkat nasional dan antarabangsa, sangat membanggakan seluruh keluarga besar UUM,” katanya yang dimaklumkan mengenai pemilihan Muhammad Saniy oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 21 Mei 2023 lalu.
Pemenang Kluster Kepimpinan Pelajar, Anugerah Kepimpinan Kolej Kediaman Terbaik sempena majlis Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini telah mengikuti program Felo Akademik ini sejak Mac 2022 secara dalam talian dan menyambung secara bersemuka mulai 12 Jun hingga 29 Jun ini bagi melengkapkan setahun penyertaannya.
Program Felo Akademik YSEALI mendedahkan hal berkaitan perdagangan, pelaburan, celik kewangan, perbankan, kewangan mikro, pembangunan dan pengurusan organisasi, penulisan geran, inovasi, pasaran baru, analisis risiko, perancangan perniagaan strategik; tanggungjawab sosial korporat, dan wanita serta golong minoriti dalam bidang keusahawanan, yang melibatkan peserta dan penyertaan pemimpin masyarakat, usahawan dan wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO).


Dalam pada itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed menganggap pemilihan pelajar UUM sebagai satu pengktirafan kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Malaysia.

“Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara yang dianjurkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat ini pastinya untuk membantu masa depan pemimpin muda dan belia  Asia Tenggara ini kerana kira-kira 65% daripada penduduk di rantau ASEAN berada di bawah umur 35 tahun,” katanya.
Katanya, Muhammad Saniy bersama pemimpin belia dari Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam akan berada di Amerika Syarikat untuk pemahaman lebih mendalam tentang Amerika Syarikat di samping meningkatkan kemahiran kepimpinan dan kepakaran profesional mereka.
“Sepanjang di sana difahamkan mereka akan mengkaji perkembangan, sejarah, cabaran dan kejayaan perusahaan dan pemimpin masyarakat, di Amerika Syarikat dan pada peringkat global,” katanya.
Dekan SEFB UUM, Prof Madya Dr Bakti Hasan Basri pula mengharapkan peluang yang diberikan kepada siswa UUM ini akan membantu masyarakat di Asia Tenggara khususnya dan dunia amnya nanti.
Oleh itu  beliau berharap Muhammad Saniy akan menggunakan peluang terbaik yang dianjur dan ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat ini dengan menampilkan idea inovatif, kreatif, dan bersemangat untuk kehidupan orang lain dalam komuniti dinegara ini, Asia Tenggara dan dunia amnya.
“Saya bangga dengan pemilihan pelajar SEFB UUM Muhammad Saniy yang akan ke University of Texas pada 12 Jun 2023 yang akan turut membincangkan mengenai perdagangan, pelaburan, celik kewangan, perbankan dan kewangan mikro dalam program itu nanti,” katanya. 


Sementara itu, Muhammad Saniy yang dihubungi melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Naib Canselor, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, dekan, pensyarah, Pengetua Inapan Siswa MAS/TNB UUM Prof Madya Dr Rohani Abdullah  dan rakan-rakan pelajar serta kakitangan UUM yang sentiasa menyokong dan memberikan semangat kepadanya.
“Visa, pasport, tarikh penerbangan dan lain-lain telah saya terima semasa perjumpaan dan taklimat baru-baru ini di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur,” katanya yang sedang menjalani latihan praktikal di Bank Negara Malaysia, Kuching. - KitaReporters

16
7
0
11
0
You will be interested