Kampus & Pendidikan 16 Oct, 2023

Video| Pelajar baharu: Guna masa pengajian dengan sebaik mungkin! Tuntut ilmu sebanyak mungkin! - VC

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi.

Share this

Muhammad Zullukman Zulkifli mengetuai bacaan ikrar pelajar baharu.

Pelajar-pelajar baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memulakan pengajian mereka di kampus di Sintok ini diminta menggunakan tempoh pengajian mereka untuk menuntut ilmu sebaik mungkin.

Naib Canselor Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, selepas sesi pengajian di sekolah rendah, menengah, matrikulasi dan sebagainya ini adalah makmal terakhir untuk mendapat didikan secara formal pada peringkat universiti.


Muhammad Zullukman (kiri) yang mewakili pelajar baharu menyerahkan ikrar kepada Ahmad Rasidi Abdullah.


“Oleh itu gunakanlah tempoh masa yang ada untuk tuntut ilmu sebanyak yang mungkin sama ada berkaitan dengan bidang ataupun ilmu-ilmu lain yang seumpama berkaitan agama, adab, sahsiah dan kecemerlangan diri selain daripada akademik,” ujar beliau semasa menghadiri majlis Bicara Santai Bersama Naib Canselor dengan pelajar baharu sesi 2023/2024 di Dewan Muadzam Shah UUM. 

Beliau juga menyarankan pelajar-pelajar libatkan diri dan bina jaringan dengan rakan-rakan sama ada di pusat pengajian atau inasis masing-masing. 


Prof Dr Mohd Foad Sakdan dalam sesi bersama pelajar baharu. 

Bagi sesi 2023/2024 ini, UUM menerima kemasukan 3,879 pelajar baharu terdiri pelajar tempatan dan antarabangsa yang akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda.

Daripada jumlah itu, 3,773 orang adalah pelajar tempatan yang merupakan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), manakala 106 lagi adalah pelajar antarabangsa.


Naib Canselor melancarkan gimik pelancaran Bicara Santai Bersama Naib Canselor.

Di majlis ini beliau turut memperkenal barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) dan Dekan-dekan.

Terdahulu Prof Dr Mohd Foad menyaksikan lafaz ikrar oleh pelajar-pelajar yang diketuai Muhammad Zullukman Zulkifli sebelum menyerahkan ikrar itu kepada Pendaftar UUM Ahmad Rasidi Abdullah. - KitaReporters


Prof Dr Mohd Sakdan bersua foto di majlis itu.
Pelajar baharu mengambil kesempatan bergambar dengan Naib Canselor.

 

 

 

14
12
0
7
0
You will be interested