Kampus & Pendidikan 04 Apr, 2024

Rakan Muda Ramadan: Rakan Ekspresi! 200 belia Perlis sertai program tanam semangat cintakan al-Quran!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi.

Share this

Peserta yang menyertai program Rakan Ekspresi di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Lebih 200 belia negeri Perlis menyertai program Rakan Muda Ramadan: Rakan Ekspresi pada 28 Mac 2024 di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perlis ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle.

Beliau dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada JBS serta agensi yang terlibat kerana berjaya menganjurkan program untuk golongan belia khususnya pada bulan Ramadan ini.



“Melalui aktiviti kerohanian yang dianjurkan ini pastinya dapat memberi pengetahuan dan bimbingan dalam memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian,” ujarnya pada majlis itu.

Beliau yakin dengan aktiviti tadarus al-Quran, pertandingan azan dan pertandingan hafazan yang dianjurkan sempena program Rajkan Muda ini dapat memberi manfaat kepada mereka.

Mereka bukan sahaja dapat membaca ayat-ayat al-Quran malah dapat memberi perhatian dengan alunan ayat suci yang dibaca juga.


Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle (kanan) menyampaikan cenderamata kepada peserta.

Beliau menambah walaupun Nabi Muhammad SAW telah wafat lebih 1400 tahun lalu namun dalam tempoh yang panjang itu umat Islam telah melalui pelbagai liku kehidupan.

“Kita bersyukur kerana rasa cinta terhadap risalah Illahi bersumberkan wahyu al-Quran yang dibawa oleh Baginda SAW masih segar pada minda dan sanubari masyarakat,” sambung beliau yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Moga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menggalakkan belia di negeri ini terutama untuk sama-sama membudayakan bacaan al-Quran dan menanamkan semangat cintakan al-Quran.

Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah JBS Perlis, Mohd Hanafi A. Rahman dan Imam 1 Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Ustaz Ajwad Bakri. - KitaReporters


40 pelajar dari KUIPs turut sertai program ini.

Mohd Hanafi A. Rahman (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr Muhamad Rozaimi.

14
13
0
11
0
You will be interested