Kampus & Pendidikan 15 Aug, 2025

Syabas cikgu-cikgu SMK Cheras Jaya! Hasilkan inovasi pendidikan! Raih pingat perak dan gangsa!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) di bawah Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya (SEJAYA) memperkenal inovasi Operasi Murid Lewat (OPEL) bermula tahun 2022 dan Masa Itu Emas (MIE) pula tahun 2024. Karnival Memacu Reformasi Pendidikan Madani 2025 Peringkat Antarabangsa. - KitaReporters


Bangunan utama SMK Cheras, Jaya (SEJAYA), Selangor.


Inovasi dalam pendidikan adalah bermatlamat meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran (P&P) apabila membabitkan perubahan kaedah pengajaran, penggunaan teknologi atau cara penilaian bagi menjadikan pendidikan itu lebih efektif serta menarik.

Justeru Kementeri Pendidikan Malaysia (KPM) menjalankan pelbagai inisiatif inovasi pendidikan yang disokong oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 serta Dasar Pendidikan Digital bagi mentrasformasi sistem pendidikan ke arah keupayaan dan kualiti yang lebih cemerlang.

Sejak beberapa tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya (SEJAYA), Selangor sentiasa menggunakan segala kebijaksanaan untuk mencapai kejayaan membanggakan serta cemerlang dalam inovasi pendidikan yang secara tidak langsung menyahut saranan memacu reformasi pendidikan Madani.



Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SEJAYA, Mohamad Jalil Mohamad Yunus, berkata rentetan itu umpama peribahasa ‘Alang-alang berminyak biar licin’, Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) di bawah Unit HEM SEJAYA memperkenal inovasi Operasi Murid Lewat (OPEL) bermula tahun 2022 dan Masa Itu Emas (MIE) pula tahun 2024.

Menurutnya, berbekalkan momentum semangat kukuh, UBK dan Unit HEM berusaha meneruskan perancangan yang sudah dibuat serta ibarat rezeki tidak pernah salah alamat apabila dua inovasi berkenaan meraih pingat perak pada Karnival Memacu Reformasi Pendidikan Madani 2025 Peringkat Antarabangsa di Klang, Selangor pada 6 dan 7 Ogos 2025.

Jelasnya, percubaan kali pertama itu ibarat peribahasa ‘Tuai benih yang baik, akan memberikan hasil yang baik’ apabila dua kategori berkenaan diraih menerusi pembentangan lisan dan seterusnya menjadi kebanggaan berganda SEJAYA apabila Cikgu Tengku Nur Nadiea Raja Zora memenangi pingat perak dan gangsa, masing-masing bagi kategori Poster Digital OPEL dan MIE.

Tambahnya, kejayaan usaha itu bukannya datang bergolek senang begitu sahaja malah dilakukan dengan penuh bertanggungjawab dan ikhlas demi kecemerlangan pelajar SEJAYA malah lima cikgu terbabit dalam dua inovasi berkenaan sentiasa membuat kajian serta memperincikan setiap langkah dilaksanakan


Lima cikgu yang membanggakan SEJAYA dari kanan, Cikgu Hasniza Ab Wahab, Syakirah Ab Razak, Norliza Ghazali, Fadzilah Mahadi dan Tengku Nur Nadiea Raja Zora pada Karnival Memacu Reformasi Pendidikan Madani 2025 Peringkat Antarabangsa.


“Lima cikgu itu yang membentang inovasi pada karnival berkenaan ialah Cikgu Norliza Ghazali, Cikgu Fadzilah Mahadi untuk inovasi OPEL manakala M.I.E membabitkan Cikgu Syakirah Ab Razak dan Cikgu Hasniza Ab Wahab serta Cikgu Tengku Nur Nadiea bagi Poster Digital. 

“Kejayaan UBK ini hasil kepercayaan, sokongan dan dorongan padu semua warga SEJAYA khusus daripada Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Cikgu Muhamad Hazri Mohamad Rafee, manakala idea asal adalah daripada Mantan Pengetua, Cikgu Kamariah Che Ngah,” ujarnya yang turut meraih pingat perak bagi Kategori Amalan Terbaik Guru.

Sementara itu, Cikgu Norliza, berkata inovasi OPEL dihasilkan dalam usaha SEJAYA untuk mengatasi masalah beberapa pelajar yang dikenal pasti sering lewat hadir ke sekolah dengan cara pendekatan disantuni dengan bijak tanpa menyinggung perasaan mereka termasuk ibu bapa.

Jelasnya, langkah itu menepati dengan tujuannya bagi memastikan pelajar terbabit kekal dalam sistem persekolahan sehingga tamat pendidikan menengah serta mampu meningkatkan motivasi diri, sahsiah, disiplin dan kesejahteraan metal mereka.


Cikgu Norliza ketika membentangkan inovasi OPEL.


Tambahnya, ia selaras objektif OPEL bagi mengurangkan peratus pelajar lewat hadir ke sekolah, memberi kesedaran kepada mereka kesan perbuatan itu di samping meningkatkan sahsiah serta kerohanian dan penguasaan Bahasa Melayu.

“Dalam tempoh pelaksanaan OPEL ini ternyata memberi kejayaan amat baik apabila masalah lewat kehadiran ke sekolah mencatatkan keputusan sifar dengan kata lain semua pelajar terbabit mematuhi serta akur untuk hadir tepat pada waktunya,” kata beliau.

Bagi Cikgu Syakirah pula, MIE diwujudkan dalam usaha mendedahkan mengenai pengurusan masa belajar yang sistematik dan berkesan di rumah iaitu dengan mengesyorkan kepada pelajar untuk menyediakan jadual pembelajaran sendiri di rumah. 

Menurutnya, langkah itu bagi meningkatkan kesedaran kepada pelajar dalam pengurusan masa 24 jam, memacukan pencapaian akademik serta sahsiah mereka selain untuk menambahbaikan prestasi dan pencapaian SEJAYA dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Cikgu Syakirah dengan penuh yakin membentangkan inovasi MIE.


Terangnya, pelaksanaan MIE itu membabitkan bengkel penyediaan jadual waktu kendiri (JWK), pembinaan JWK oleh pelajar dan permurniaan oleh Guru Bimbingan & Kaunseling Sepenuh Masa (GBKSM), pelaksanaan JWK oleh pelajar dan ibu bapa serta pemantauan JWK oleh GBKSM.

“MIE bermula April 2024 sehingga Januari 2025 membabitkan 100 pelajar tingkatan lima iaitu calon SPM mencatatkan impak besar apabila data Gred Purata Individu (GPI) menunjukkan peningkatan dalam peperiksaan pertengahan tahun 2024, iaitu pelajar terbabit menunjukkan peningkatan antara 0.8 hingga 2.33.

“Saya berharap MIE ini menjadi budaya pembelajaran yang sistematik serta berkesan di rumah disamping dapat meningkatkan pencapaian individu dan akademik dengan melonjak keputusan cemerlang SPM SEJAYA,” ujarnya lagi. - KitaReporters


Cikgu Tengku Nur Nadiea merakam kenangan bersama pengelola program dari Pejabat Pendidikan Daerah Klang selepas meraih pingat perak dan gangsa kategori Poster Digital OPEL dan MIE.


Cikgu Mohamad Jalil (kanan) bersama-sama Cikgu-Cikgu Syakirah, Hasniza, Tengku Nur Nadiea, Fadzilah dan Norliza menunjukkan sijil penghargaan dan pingat yang diraih pada Karnival Memacu Reformasi Pendidikan Madani 2025 Peringkat Antarabangsa di Klang, Selangor.

33
26
0
27
0
You will be interested