MENDIDIK dan menghiburkan! Itulah pengalaman dirasai murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batang, Bagan Datuk, Perak yang menyertai Perkhemahan Unit Beruniform pada 22 hingga 23 Ogos 2025 lalu.

Tunjuk ajar guru bagi memastikan murid memasang khemah secara betul.
Kesemuanya
42 orang murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam menyertai perkhemahan dua hari itu
yang diadakan di kawasan sekolah berkenaan.
Perkhemahan tersebut melibatkan dua pasukan beruniform utama, Pengakap dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS). Ia bermula sekitar pukul 2.30 petang
selepas selesai solat Jumaat. Persiapan awal seperti pemasangan khemah dibuat sejak pagi oleh guru, petugas dan murid-murid.

Memberi makan ikan antara aktiviti murid ketika melawat Ladang Bunga Mahatari yang merupakan tarikan pelancong di Bagan Datuk.

Guru-guru SK Sungai Batang ceria ketika melawat Ladang Bunga Matahari, Bagan Datuk.
Walau pun perkhemahan diadakan di kawasan sekolah, murid-murid juga dibawa melakukan beberapa aktiviti di tempat lain di kawasan Bagan Datuk.
Ini termasuk membawa peserta melawat Ladang Bunga Matahari, terletak 20 kilometer dari sekolah sebagai aktiviti pertama pada hari pertama. Murid-murid pergi dengan menaiki kenderaan guru-guru. Ladang bunga ini merupakan salah satu tarikan pelancongan popular di Bagan Datuk.
Sepanjang lawatan dua jam itu, murid-murid menghayati keindahan landskap ladang tersebut dan melihat sendiri penanaman bunga matahari. Mereka juga berpeluang memberi makan ikan yang banyak dipelihara di kolam taman itu.

Selepas
itu, murid-murid singgah di Masjid Tuminah Hamidi, masjid terapung di atas
Sungai Perak yang merupakan satu lagi destinasi pelancongan di Bagan Datuk. Mereka juga bersantai di Dataran Bagan Datuk, berhampiran masjid tersebut.
Selepas solat asar berjemaah, mereka kembali ke sekolah untuk menjalani satu aktiviti mencabar iaitu lari berhalangan. Aktiviti ini menguji ketahanan fizikal dan semangat juang murid, melatih mereka menghadapi dan mengatasi apa juga halangan yang dilalui dalam hidup.

Lari berhalangan mencabar ketahanan dan daya juang murid untuk membina kekuatan diri dan minda.
Pada sebelah malam, selepas solat maghrib berjemaah dan makan malam, telah diadakan acara Malam Kebudayaan. Acara berlangsung dalam suasana meriah melibatkan lima kumpulan peserta.
Pelbagai persembahan kreatif diadakan sebagai menyerikan majlis. Lebih menyeronokkan acara ini terbuka kepada ibu bapa. Kehadiran ramai daripada mereka merupakan sokongan moral sangat bermakna kepada anak-anak.

Aktiviti memancing di parit berhadapan sekolah mrupakan ikhtiar hidup mencari sumber makanan.
Hari kedua perkhemahan dimulakan dengan solat subuh berjemaah dan senaman pagi. Ini disusuli dengan aktiviti ikhtiar hidup, iaitu pertandingan memancing di parit berhadapan sekolah. Aktiviti ini sebagai latihan berusaha dan berikhtiar mencari sumber makanan apabila keadaan memerlukan.
Hasilnya memberangsangkan. Murid-murid berjaya memancing ikan seperti haruan dan tilapia. Ini membuktikan kemahiran asas memancing yang diterapkan berjaya dipraktikkan, berjaya mendidik murid-murid berdikari.

Guru-guru menghakimi pertandingan memasak oleh murid-murid.

Enak juga nampaknya masakan murid-murid, menampilkan kebolehan memasak walau pun masih di sekolah rendah.
Sebelum perkhemahan berakhir, pertandingan memasak pula diadakan. Murid dibahagikan kepada kumpulan. Setiap kumpulan diberi bahan asas seperti telur dan sadin untuk ramuan memasak.
Nyata murid-murid
berbakat memasak. Mereka mampu menghasilkan masakan yang bukan sahaja kreatif
tetapi sedap dan menyelerakan. Mungkin ada yang memang berpengalaman memasak di
rumah menolong emak.
Majlis penutup perkhemahan dirasmikan oleh Guru Besar, Siti Rafidah Dikon, yang turut menyampaikan hadiah kepada peserta. Peserta lelaki terbaik dimenangi Mohd Iffat Irshad, manakala peserta perempuan terbaik oleh Nor Alisya Qaisara.

Sempena bulan kemerdekaan, murid-murid SK Sungai Batang sama-sama memasang bendera dan menghias persekitaran kawasan sekolah mereka.
Pihak sekolah beterima kasih kepada guru, ibu bapa dan semua yang terlibat dalam menjayakan perkhemahan dua hari itu yang bertujuan membina semangat kental di kalangan murid.
Perkhemahan Unit Beruniform SK Sungai Batang berjaya membina jati diri dan disiplin murid. Ia juga berjaya memupuk dan mengukuhkan semangat kerjasama dan kepimpinan di kalangan murid.
Ciri ini penting diterapkan kerana mereka adalah pemimpin masa
hadapan. - KitaReporters