Kampus & Pendidikan 20 Sep, 2025

Pembangunan tenaga mahir bidang semikonduktor! Pekerja industri dapat latihan ADI di ADTEC Taiping!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Setiap pekerja memerlukan latihan dan kemahiran dalam bidang yang mereka sertai agar menjadi tenaga kerana mahir, sebagai contoh, dalam bidang semikonduktor.


Steven Sim (tengah) menyerahkan sijil kepada seorang pekerja pada Konvokesyen Akademi Dalam Industri (ADI) di ADTEC Kampung Taiping, Perak.


Justeru itu, seramai 67 pekerja industri berjaya menamatkan latihan pada konvokesyen Akademi Dalam Industri (ADI) di Pusat Latihan Teknologi Tinggi  (ADTEC) Kampus Taiping, Perak dan Japan Malaysia Technical Institute (JMTI).

Mereka masing-masing menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 sebagai pengiktirafan kompetensi mereka.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Steven Sim Chee Keong pada Karnival Industri dan Teknologi Semikonduktor (KITES) 2025 di ADTEC Taiping, Perak pada 18 September 2025.

Graduan-graduan ini merupakan pekerja syarikat Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. dan Carsem Malaysia Sdn. Bhd. yang telah berjaya menamatkan latihan dan dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 melalui kaedah ADI.

Semua 67 orang graduan bekerja sebagai Machine Specialist (Pakar Mesin) di Carsem dan Micron yang menjalani latihan ADI selama satu tahun dan dibayar gaji penuh.

Sebanyak tujuh buah agensi dalam kalangan syarikat semikonduktor dan pembekal latihan bidang semikonduktor sedang bekerjasama dengan ADTEC Kampus Taiping.

Syarikat tersebut ialah Micron Memory Malaysia, Control Automation Technology (CAT), Penang Skills Development Centre (PSDC), Vitrox Technologies, Vitrox Academy, JHEXA Sdn. Bhd., dan Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd. (KTECHNO).


Steven Sim (tengah) ketika melihat produk semikondaktor yang dipamerkan di ADTEC Kampus Taiping, Perak.


Kerjasama strategik yang dimeterai melibatkan skop kerjasama dalam pembangunan tenaga mahir industri semikonduktor yang mampu mengukuhkan peranan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) selaku peneraju pembangunan tenaga kerja berdaya saing.

Skop kerjasama :

  • a) pelaksanaan Program Latihan kepada Perantis, Pelajar, Pengajar, Graduan dan Pekerja bagi tujuan pembangunan modal insan dan peningkatan kemahiran;
  • b)  khidmat nasihat teknikal serta perkongsian kepakaran dan teknologi dalam bidang tersebut melalui aktiviti latihan, promosi dan aktiviti-aktiviti lain yang dipersetujui secara bersama oleh pihak-pihak; dan
  • c)  mana-mana skop kerjasama berkaitan latihan kemahiran teknikal dan program pembangunan sumber manusia dalam Bidang tersebut yang akan dipersetujui secara bersama.

Steven Sim berkata, Malaysia berada di kedudukan kukuh untuk muncul sebagai kuasa besar semikonduktor serantau dengan sumbangan hampir 13 peratus kepada kapasiti ujian dan pemasangan global.

Menurut beliau, pencapaian itu hanya dapat diperkukuh sekiranya negara melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi.

“Industri semikonduktor adalah nadi transformasi digital negara. Latihan adalah pelaburan kepada masa depan kerana tanpa tenaga kerja mahir, Malaysia tidak akan mampu mengekalkan kedudukan strategik ini,” katanya.


Steven Sim (tengah) bergambar dengan sebahagian pelajar dan ibu bapa yang hadir di ADTEC Kampus Taiping, Perak.

ADTEC Kampus Taiping adalah salah sebuah institusi latihan kemahiran daripada 35 buah institut di bawah seliaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM).

ADTEC Kampus Taiping menyediakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar dalam bidang Teknologi Mekatronik, Teknologi Mikroelektronik, Teknologi Sistem Komputer, Teknologi Jaminan Kualiti, Teknologi Polimer, Teknologi Komposit serta Teknologi Mekanikal (Pemprosesan Bahan) pada peringkat Sijil dan Diploma.

ADTEC Kampus Taiping juga merupakan satu-satunya Institusi Latihan TVET yang menawarkan latihan dalam bidang Teknologi Mikroelektronik yang memfokuskan kepada proses pembuatan semikonduktor. - KitaReporters

a

16
6
0
14
0
You will be interested