Kampus & Pendidikan 03 Jun, 2025

Berita baik! Baucar buku untuk guru-guru pada 2025! Bentuk kecintaan kepada ilmu, budaya membaca!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Berita baik untuk guru-guru! Kerajaan Madani mengumumkan pemberian baucar buku kepada semua guru sekolah di seluruh negara pada tahun 2025 ini bagi membentuk kecintaan terhadap buku dan budaya membaca.

"Amalan membaca harus disematkan dalam jiwa setiap rakyat. Tiada siapa akan melonjak ke depan tanpa penguasaan ilmu yang menyeluruh, dan ini hanya boleh dijayakan dengan menghidup serta menggerakkan budaya membaca yang mekar dan berterusan dalam masyarakat.

"Kerana guru merupakan ejen terawal yang membentuk kecintaan terhadap ilmu di dalam bilik darjah, saya turut mengumumkan pemberian baucar buku kepada semua guru sekolah di seluruh negara pada tahun ini (2025).

"Peranan guru sebagai pencetus minat membaca dalam kalangan murid amat penting dan perlu terus didukung," umum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.




Anwar berkata demikian ketika hadir ke Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 -- edisi ke-42 -- yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 1 Jun 2025. 

PBAKL, katanya, akan terus menjadi nadi kepada budaya membaca, medan mempertemukan pemikir, penulis, dan pencinta ilmu dari seluruh negara.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut merasmikan Podcast Telaah dan berkongsi ulasan terhadap empat buah karya penting yang menyentuh perjalanan bangsa, warisan peradaban Melayu-Islam serta pemikiran tokoh-tokoh besar seperti Za’ba, Ungku A. Aziz, Dr. Siddiq Fadzil dan Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

"Sepanjang majlis, saya turut meluncurkan beberapa buah buku terbitan terkini, serta mengunjungi ruang pameran Perbadanan Kota Buku dan Pavilion Al-Falah, di samping melawat reruai penerbit tempatan seperti ITBM, DBP, Karangkraf, MAPIM dan Pavilion Selangor.

"Semua ini menjadi bukti nyata bahawa dunia penerbitan kita kekal rancak dan subur dengan pemikiran tuntas dan bernas," tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


7
9
0
17
0
You will be interested