Kampus & Pendidikan 15 Feb, 2025

Terima Kasih FGV Holdings! Sedia RM2.25j untuk 15k murid Tahun Satu! Sekolah tanah rancangan Felda!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this


Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Segamat), Abdul Rahman Kechik (dua dari kanan) menerima replika cek daripada Haslinda Salleh (tiga dari kiri) ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Selamat Datang Sekolah 2025 di Dewan Semai Bakti Felda Tenang, Labis, Johor pada 13 Februari 2025 lalu.


Bagi memastikan tiada golongan tercicir untuk mendapatkan peluang pendidikan secara sama rata tanpa mengira status ekonomi, terdapat pelbagai pihak yang bermurah hati menghulurkan sumbangan berupa kelengkapan peralatan sekolah kepada pelajar yang memerlukan.

Salah satu badan korporat yang cakna terhadap beban yang ditanggung oleh ibu bapa dalam usaha menyediakan keperluan anak-anak bagi memulakan sesi persekolahan baharu tahun ini (2025) adalah FGV Holdings Berhad (FGV) yang memperuntukkan sejumlah RM2.25 juta untuk Sumbangan Selamat Datang Sekolah bagi membantu 15 ribu murid Darjah Satu dalam komuniti Felda di seluruh negara.


Salah seorang murid yang bakal memasuki alam persekolahan pada tahun ini menerima beg sekolah yang disampaikan oleh ADUN Tenang, Haslinda Salleh.


Antara yang menerima manfaat daripada program tersebut yang memasuki tahun kedua pada tahun 2025 ini adalah 942 murid Darjah Satu yang bakal memasuki alam persekolahan buat pertama kali di 30 buah sekolah kebangsaan (SK) yang terdapat di dalam kawasan tanah rancangan Felda Wilayah Segamat, Johor. 

Pengarah Felda Wilayah Segamat, Hasrul Nizam Hassan berkata, bantuan yang disalurkan itu meliputi pakaian seragam sekolah, set alat tulis, beg sekolah, stokin dan kasut sekolah, yang bertujuan meringankan beban ibu bapa untuk  menyediakan keperluan anak-anak mereka terutama bagi golongan kurang berkemampuan.

"Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan program sama pada tahun lepas (2024) dalam usaha FGV  menyokong pendidikan generasi muda di komuniti Felda seluruh negara termasuk di tanah rancangan Felda Wilayah Segamat, Johor.


Hasrul Nizam Hassan


"Sebagai organisasi yang berdidikasi terhadap kesejahteraan masyarakat, Felda sentiasa berusaha untuk memastikan komuniti peneroka dan keluarga mereka menikmati kemudahan terbaik terutama bagi generasi baharu," katanya ketika berucap pada Program Selamat Datang Sekolah 2025 di Dewan Semai Bakti Felda Tenang, Labis, Johor pada 13 Febuari 2025 lalu.

Turut hadir menyampaikan sumbangan yang disalurkan oleh FGV itu  kepada guru besar sekolah terlibat adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh.  

Dalam masa sama Hasrul Nizam berharap bantuan yang diterima ini bukan sahaja mampu meringankan beban golongan ibu bapa, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada murid-murid yang menerimanya untuk menimba ilmu seterusnya menjadi insan berguna yang mampu menyumbang kembali kepada masyarakat khususnya komuniti Felda pada satu hari nanti.      


Sebahagian wakil sekolah-sekolah di kawasan tanah rancangan di Felda Wilayah Segamat yang menerima sumbangan peralatan sekolah untuk murid tahun satu bergambar kenangan.


"Untuk makluman, tanah rancangan dalam daerah Segamat merupakan penerima terbesar sumbangan ini di mana terdapat 11 buah sekolah yang mendapat manfaat daripada penganjuran program ini berbanding daerah lain yang berada di bawah pentadbiran Felda Wilayah Segamat.

"Tanah rancangan Felda lain yang turut menerima sumbangan adalah daerah Kluang dengan lapan buah sekolah, Kulai (2), Mersing (2), Tangkak (2), Muar (1), Daerah Jasin, Melaka (2) dan Alor Gajah, Melaka (2)", katanya lagi.

Pecahan murid mengikut jantina yang menerima bantuan tersebut adalah 477 murid lelaki dan 465 murid perempuan yang bakal memulakan sesi persekolahan dalam Darjah Satu pada tahun 2025 ini. - KitaReporters


Kegembiraan jelas terbayang di wajah kanak-kanak yang menerima bantuan peralatan sekolah daripada FGV Holdings Berhad di Felda Tenang, Labis Johor.


Wakil sekolah rendah yang menerima sumbangan bergambar kenangan selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Selamat Datang Sekolah 2025 di Dewan Semai Bakti Felda Tenang, Labis, Johor pada 13 Februari 2025 lalu.

13
9
0
12
0
You will be interested