Kampus & Pendidikan 13 Mar, 2025

Sekolah baharu! SR Seri Budiman santuni mesra murid baharu sesi 2025/2026! Semua teruja dan ceria!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Bangunan utama SR Seri Budiman.


Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, yang memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2025/2026 menyaksikan murid-muridnya hadir dengan penuh semangat dan keterujaan pada 17 Februari 2025.

Seramai 58 murid hadir pada hari pertama yang terdiri daripada 30 murid Tahun 1 dan 28 murid Tahun 2.

Guru Besar SRSB, Dr Kama Shaffeei, berkata seawal pagi, murid-murid tiba di sekolah dengan wajah yang ceria dan penuh rasa ingin tahu, mereka kemudian menuju ke kelas masing-masing untuk memulakan perjalanan baharu dalam dunia pembelajaran dalam suasana yang penuh disiplin dan tenang.


Murid menghadiri perhimpunan mingguan di Laman Seri Budiman.


Bagi murid Tahun 1, katanya, hari pertama itu menjadi pengalaman yang sangat bermakna kerana mereka mula mengenali suasana sekolah yang baharu dan melalui sesi persekolahan bermula dengan perhimpunan mingguan di Laman Seri Budiman.

"Perhimpunan ini turut menjadi platform bagi memperkenal barisan guru kepada murid, terutama kepada Tahun 1 yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke SRSB.

“Saya menekankan kepentingan disiplin, kesungguhan dalam belajar, serta menggalakkan murid-murid supaya menikmati pengalaman persekolahan dengan penuh minat dan kegembiraan,” ujarnya.


Murid Tahun 1 diperkenal kepada guru-guru bagi sesi 2025/2026.


Seterusnya selepas perhimpunan, sesi taklimat khas diadakan di dalam kelas untuk membantu mereka menyesuaikan diri.

Sementara dalam sesi bersama guru diterangkan peraturan asas sekolah, rutin harian serta memperkenalkan mereka kepada persekitaran baharu.

Dr Kama berkata, murid juga diberikan pendedahan awal mengenai jadual pembelajaran dan aktiviti sekolah termasuk Minggu Orientasi Khas untuk murid Tahun 1 yang diisi pelbagai aktiviti menarik untuk membantu mereka menyesuaikan diri, mengenali rakan-rakan baharu, serta membina keyakinan diri dalam suasana pembelajaran lebih formal. 


Ibu bapa menghantar anak-anak seawal jam 7.00 pagi.


Menurutnya, dengan bimbingan guru yang dedikasi dan persekitaran sekolah yang mesra, diharapkan semua murid dapat menikmati pengalaman awal persekolahan dengan penuh keseronokan dan motivasi untuk terus belajar.

Tambahnya, dengan permulaan yang baik itu, diharapkan sesi persekolahan tahun 2025/2026 akan menjadi satu pengalaman yang bermakna buat semua warga sekolah, khususnya murid yang baru melangkah ke alam persekolahan rendah. - KitaReporters


Murid Tahun 1 SRSB dalam sesi taklimat.

12
13
0
9
0
You will be interested