Kampus & Pendidikan 21 Oct, 2024

Tingkat kemahiran digital pelajar! UPSI, Excelerate meterai MoU! Perkasa Program Pembangunan K-Youth!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Delegasi Excelerate dan Khazanah Nasional Berhad ketika sesi memeterai MoU.


EXCELERATE memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, bagi melaksanakan Program Pembangunan K-Youth yang disasarkan kepada pelajar universiti berkenaan.

Pada majlis menandatangani MoU yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pada 2 Oktober 2024. 

Pengerusi Excelerate, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz, berkata perjanjian persefahaman itu adalah satu penghormatan besar kepada pihak Excelerate bagi menjalankan program  untuk tempoh empat tahun berturut-turut.

Tunku Zain Al-‘Abidin, berkata inisiatif Program Pembangunan K-Youth itu adalah usaha utama Khazanah Nasional Brhad bagi meningkatkan kebolehpasaran belia di Malaysia.


Sesi bertukar dokumen MoU antara Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Mukhriz yang mewakili Excelerate dengan Prof Md Amin Md Taff (lima dari kanan) bagi pihak UPSI. 


Menurutnya, kali ini Excelerate bekerjasama secara eksklusif dengan UPSI untuk menyampaikan program berkenaan yang disasarkan kepada 550 pelajar tahun dua UPSI.

Beliau berkata, program itu direka bentuk kepada pelajar UPSI untuk memberi tumpuan kepada tiga bidang penting bagi sektor ekonomi digital pada masa kini iaitu pemasaran digital, analisis data dan pengalaman pengguna.

“Melalui program ini, pelajar UPSI berupaya melengkapkan diri mereka dengan kemahiran digital yang penting untuk meningkatkan prospek pekerjaan dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran masa depan.

“Pelajar juga akan menerima panduan tentang strategi pencarian kerja dan mempunyai akses kepada sistem sokongan yang mantap, terdiri daripada webinar ekslusif, bengkel dan sambungan ke rangkaian Rakan Bakat Excelerate,” tambah beliau.


Pengarah Pengurus Modal Insan Strategik Khazanah Nasional Berhad, Muhammad Razip Mohammad Zin (tengah) menerima cenderamata daripada Prof Md Amin.


Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata UPSI menyambut baik hasrat kerjsama berkenaan bagi memupuk modal insan dalam kalangan pelajar yang bukan sahaja memenuhi tetapi melebihi jangkaan industri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Menurut beliau, faktor isu pengangguran graduan masa kini disebabkan oleh jurang dalam kemahiran yang berkaitan dan kemajuan teknologi yang menghalang graduan baharu itu daripada mendapatkan pekerjaan.

Bagi mendepani cabaran ini, katanya, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI, dengan kerjasama sepuluh fakulti, komited untuk mengenal pasti dan mewujudkan peluang untuk pelajar UPSI bagi memperoleh kemahiran serta pengalaman yang diingini pihak industri.

Katanya, usaha sama dengan Excelerate membolehkan UPSI menawarkan latihan terkini yang selaras dengan misi untuk memupuk kecemerlangan akademik dan inovasi dalam pendidikan.

Jelasnya lagi, kerjasama yang terjalin itu menjadi  langkah penting ke hadapan dalam komitmen berterusan UPSI untuk menyediakan pendidik dengan keperluan yang siswazah perlukan untuk berjaya dalam persekitaran pendidikan yang berubah dengan pantas. 

"Kerjasama bersama pihak Excelerate mencerminkan komitmen kami untuk menghasilkan pendidik yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga mampu menyesuaikan diri dan mahir dalam landskap digital.

"Program ini pastinya berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan UPSI, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh Malaysia," katanya.


Delegasi Exelerate turut melawat dan bermain boling di UPSI Sports Bowl, Kampus Sultan Azlan Shah.


Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Excelerate, Andrew Pereira; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Pengurus Modal Insan Strategik Khazanah Nasional Berhad, Muhammad Razip Mohammad Zin dan Pengarah EDGE UPSI, Prof Madya Dr Sharul Effendy Janudin.

Selesai menandatangani MoU, delegasi Exelerate dibawa melawat Pusat Sukan, UPSI Sports City, UPSI Adventure Park serta UPSI Sports Bowl. - KitaReporters

15
11
0
16
0
You will be interested