Yayasan Perkasa Siswa (YPS) melahirkan rasa syukur dan penghargaan terhadap sambutan luar biasa mahasiswa institusi pengajian tinggi di seluruh negara terhadap Program Baucar Buku Madani Pelajar IPT Fasa 2.
Keghairahan ini mencerminkan kesungguhan mahasiswa untuk memanfaatkan peluang yang disediakan bagi memperkukuh proses pembelajaran mereka melalui bahan bacaan berkualiti.
Sejak program ini dilancarkan, portal rasmi mysiswaplace.my mencatatkan lonjakan trafik yang mengagumkan. Ribuan mahasiswa dilaporkan mengunjungi portal tersebut setiap hari untuk menebus baucar mereka, menunjukkan betapa pentingnya inisiatif ini kepada golongan pelajar.
Bagaimanapun, YPS mengakui bahawa jumlah pesanan buku yang diterima adalah sangat tinggi dan memohon agar mahasiswa dapat bersabar sepanjang proses penghantaran.
Pesanan kini sedang diproses dengan teliti oleh rakan kongsi dan pengedar bagi memastikan buku yang diterima berada dalam keadaan terbaik. Dalam usaha memastikan penghantaran berjalan lancar, YPS dan rakan logistiknya komited untuk menghantar pesanan dalam tempoh yang secepat mungkin.
YPS juga menegaskan bahawa tiada istilah kehabisan baucar bagi program ini. Setiap mahasiswa yang memenuhi syarat kelayakan masih berpeluang untuk menebus baucar sehingga tarikh akhir pada 31 Disember 2024.
Dalam pada itu, mahasiswa diingatkan untuk memastikan maklumat yang dimasukkan semasa penebusan, seperti nombor matrik, adalah lengkap dan tepat bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Selain menyediakan khidmat pelanggan 24 jam sehari untuk membantu mahasiswa, YPS turut berterima kasih kepada penerbit dan pengedar buku seperti Popular Book Store serta lebih 300 pengedar lain yang berganding bahu menjayakan program ini.
Kerjasama erat daripada pelbagai pihak membuktikan usaha kolektif dalam memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya mahasiswa.
Inisiatif ini bukan sekadar peluang untuk mahasiswa mendapatkan bahan bacaan berkualiti, tetapi juga merupakan langkah penting ke arah membentuk masyarakat Malaysia yang lebih berilmu dan berwawasan.
Dengan tempoh penebusan yang panjang dan sistem sokongan yang mantap, YPS optimis program ini akan terus memberi manfaat kepada mahasiswa di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut, mahasiswa boleh melayari portal rasmi di mysiswaplace.my. - KitaReporters