Kampus & Pendidikan 05 Dec, 2025

Elak rendahkan martabat diri, famili, sekolah! Tamatkan SPM dengan bersyukur! Bukan perbuatan bodoh!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diingatkan supaya menjaga tatasusila dan disiplin diri pada hari terakhir peperiksaan bagi memelihara imej sekolah serta maruah keluarga.

Hari terakhir SPM ialah 23 Disember 2025, selepas peperiksaan bermula pada 25 November 2025 lalu.


Gambar hiasan... Tindakan menconteng baju sekolah yang dianggap sebagai budaya tidak sihat dalam kalangan remaja. - Kredit foto: Facebook

Lakaran AI.... Calon SPM 2025 melakukan sujud syukur selepas tamat peperiksaan di sebuah dewan sekolah, sebagai tanda penghargaan dan kelegaan menamatkan kertas terakhir.


Alumni Sekolah Menengah Dato’ Syed Ahmad (SMDSA), Prof Madya Dr Ahmad Shabudin Ariffin, berkata tamatnya peperiksaan bukan alasan untuk pelajar melakukan tindakan yang boleh merendahkan martabat diri, sekolah dan keluarga.

Menurut beliau, pelajar sewajarnya menyambut saat selesai menjawab kertas peperiksaan dengan tenang dan penuh rasa syukur, bukan dengan tingkah laku yang tidak mencerminkan sahsiah terpuji.

“SPM bukan pengakhiran, tetapi satu peringkat penting sebelum memasuki alam dewasa yang menuntut kematangan dan kebijaksanaan. 

"Elakkan budaya menconteng baju, memecut motosikal atau apa-apa perbuatan yang membahayakan diri serta orang lain. Sambut hari terakhir dengan tertib dan penuh kesyukuran,” katanya. 


Dr Ahmad Shabudin Ariffin.


Sementara itu, Dr Hasrul Hashom, Jurulatih Bertauliah HRD Corp (HRD CORP), mengingatkan pelajar bahawa fasa selepas SPM merupakan tempoh kritikal untuk merancang hala tuju masa depan.

Beliau berkata dunia pasca-SPM menuntut kemahiran insaniah, daya tahan mental, keyakinan diri serta kebolehan membuat keputusan bijak yang akan menentukan kerjaya dan kehidupan masa depan.

“Fasa selepas SPM bukan masa untuk leka. Pelajar perlu mula merancang masa depan, meneroka peluang pendidikan, latihan kemahiran dan mengenal pasti bidang kerjaya yang sesuai dengan minat serta potensi diri,” katanya.


Dr Hasrul Hashom


Pengarah Eksekutif Pusat Akademi Konsultansi Inspirasi (IACC – Inspiration Academy & Consultancy Centre), Noor Azman Yusof, pula menekankan bahawa keputusan peperiksaan bukan penentu tunggal kejayaan seseorang.

“Keputusan SPM memang penting, tetapi kemahiran diri dan nilai peribadi merupakan faktor utama yang membentuk kejayaan seseorang. 

"Pelajar digalakkan menyertai latihan kemahiran, program kepimpinan dan pembelajaran sepanjang hayat bagi memperkukuh potensi diri,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa, waris dan pelajar boleh menghubungi IACC sekiranya memerlukan bimbingan kerjaya, nasihat akademik atau ingin mengikuti kursus pembangunan diri yang ditawarkan.

“IACC komited membantu pelajar merancang masa depan, mengenal pasti kekuatan diri dan membina kemahiran kritikal agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran seterusnya,” tambahnya.


Noor Azman Yusof.


Pihak sekolah dan alumni turut berharap agar calon SPM 2025 menamatkan peperiksaan dengan adab, syukur dan disiplin yang tinggi sebagai tanda penghormatan kepada guru, sekolah dan diri sendiri. - KitaReporters

13
13
0
17
0
You will be interested