Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bukan sekadar slogan -- ia adalah bentuk kepedulian terhadap komuniti.
Inisiatif itu direalisasikan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) yang menganjurkan program tersebut di Maahad Tahfiz Al-Quran An-Najihah (MATAN), Kampung Jijan, Nilai pada Sabtu 15 November 2025.

Aktiviti berkenaan diketuai Muhammad Khairee Izzuddeen Ismail selaku pengarah program bersama 27 peserta lain turun padang bagi memberi impak positif kepada anak-anak tahfiz.
Daripada jumlah itu, 23 adalah pelajar UniKL MIAT, manakala empat lagi ialah tenaga pengajar kelab. Mereka datang dari pelbagai latar belakang, khususnya dalam bidang penerbangan dan membawa pengalaman serta semangat untuk memberi kembali kepada komuniti.
Kolaborasi turut dijalinkan bersama Woman in Aviation MIAT (WIAM) -- menambah dimensi gender dan profesionalisme dalam program CSR ini.
Selain memberi sumbangan berupa wang tunai, program tersebut menumpukan kepada aktiviti gotong-royong dan mengecat kawasan maahad tahfiz.
Ini kerana sebelum program, persekitaran MATAN agak sederhana dan memerlukan sentuhan baharu.
“Alhamdulillah, program ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti tahfiz,” ujar Khairee Izzuddeen sambil menekankan, kepuasan peserta melihat hasil usaha mereka.
Hadir sama Penyelia Kelas Latihan PSSCM UniKL MIAT, Rostam Hamzah serta tenaga pengajar dan jurulatih PSSCM UniKL MIAT, Faiz Rosli.

Aktiviti seperti mengecat dinding, membaiki pagar dan mengemas bangunan bukan sahaja mengubah wajah fizikal maahad, tetapi juga membina ikatan dan kerjasama antara peserta dan anak-anak tahfiz.
Perubahan ketara dapat dilihat sejurus program tamat. Dinding-dinding yang dicat kemas, asrama yang tersusun rapi dan persekitaran yang lebih ceria memberi aura positif kepada pelajar.
Pengasas MATAN, Muhammad Zawawi Aman pula menyifatkan perubahan ini sebagai satu motivasi besar.
“Anak-anak tahfiz sangat bangga dengan persekitaran baharu yang lebih kemas dan segar,” katanya.
MATAN diasaskan pada 2009 oleh Muhammad Zawawi selepas menamatkan pengajian di Karachi, Pakistan, dengan hanya 10 orang pelajar.
Namun kini, ia berkembang pesat, menampung lebih ramai pelajar tahfiz dengan pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum.
Objektif MATAN bukan hanya melahirkan huffaz, tetapi juga membangunkan pelajar yang menguasai integrasi tahfiz dan akademik, membolehkan mereka bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Muhammad Zawawi menekankan bahawa pelajar tidak ketinggalan daripada segi akademik. Mereka belajar pengajian Al-Quran pada siang hari dan subjek akademik pada waktu malam, menjadikan mereka huffaz profesional.
Selain pengajian akademik dan tahfiz, pelajar juga didedahkan dengan aktiviti kokurikulum seperti persatuan qasidah, Kelab Bahasa Arab dan kemahiran praktikal seperti membina meja simen, welding dan penanaman cendawan.


Aktiviti CSR tersebut memberi inspirasi kepada pelajar untuk melihat dunia di luar bilik darjah. Mereka belajar bahawa kerja amal adalah sebahagian daripada kehidupan dan tanggungjawab sosial.
“Ini sangat membantu dan memberi motivasi kepada anak-anak tahfiz supaya lebih bersemangat untuk belajar,” kata Ustaz Zawawi, menekankan nilai inspirasi yang dibawa oleh abang-abang dan kakak-kakak peserta CSR.
Peserta CSR pula merasakan kepuasan luar biasa melihat hasil tangan mereka memberi senyuman kepada anak-anak tahfiz.
“Walaupun kita penat, tapi bila tengok mereka gembira, semua penat itu hilang,” ujar seorang peserta, Akmal Daniel Ahmad Syahir.
Aktiviti seperti mengecat bukan sahaja memartabatkan persekitaran, tetapi juga mengajar nilai kerjasama, disiplin dan kesabaran.
Pihak penganjur berjaya mengumpul sumbangan untuk membeli cat, berus, scraper, tinner dan peralatan lain yang diperlukan bagi menjayakan aktiviti.
Pemilihan MATAN sebagai lokasi CSR berdasarkan kesesuaian tarikh dan keperluan persekitaran.
Menurut Khairee Izzuddeen, lokasi ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang dalam konteks pendidikan dan agama.
Aktiviti gotong-royong dan mengecat dipilih kerana ia jarang dilakukan oleh pihak luar dan memberi impak visual yang segera.
“First impression persekitaran yang cantik amat penting bagi ibu bapa atau pelawat yang datang ke tahfiz,” ujar Muhammad Zawawi.

Program ini juga menunjukkan bahawa PSSCM UniKL MIAT boleh bekerjasama dengan kelab lain, membuktikan bahawa institusi tidak bergerak sendiri, tetapi mampu menyatukan tenaga bagi tujuan sosial.
Impak positif bukan sahaja kepada pelajar tahfiz, tetapi juga kepada peserta CSR sendiri. Mereka belajar nilai kerjasama, empati dan kesedaran sosial.
Dalam proses itu, anak-anak tahfiz turut dilibatkan dengan aktiviti ringan, memberi mereka rasa bangga dan tanggungjawab terhadap persekitaran mereka sendiri.
Justeru Muhammad Zawawi berharap agar program seperti ini menjadi pemangkin motivasi untuk pelajar mengikut jejak langkah peserta CSR, termasuk mengejar impian ke puncak menara gading.
Program berkenaan menunjukkan bahawa kerjasama antara institusi pendidikan dan universiti boleh melahirkan impak lebih luas kepada komuniti.
Malah aktiviti seperti ini akan diteruskan secara berkala, memberi peluang kepada lebih ramai pelajar dan komuniti lain untuk merasai manfaatnya.
Selesai program, senyuman anak-anak tahfiz, dinding yang dicat kemas dan hubungan erat antara peserta CSR dan pelajar MATAN menjadi bukti bahawa di mana ada niat dan kemahuan, di situ ada jalan untuk memberi impak kepada komuniti. - KitaReporters
