Kampus & Pendidikan 12 Jul, 2025

Kampung Angkat Madani dan Madani TVET! Bendang Siam, Changkat Jering! Inisiatif warga JPPKK Perak!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this

Sebahagian kakitangan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Perak sedang membuat persiapan peralatan mesin rumput untuk Program Gotong-Royong Perdana Kampung Angkat Madani dan Madani TVET di Kampung Batu 8, Bendang Siam, Changkat Jering dekat Taiping pada 21 Julai 2025.


Kampung Bendang Siam, Changkat Jering dekat Taiping, Perak ini menjadi Kampung Angkat Madani Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaras dengan aspirasi memperkasa komuniti luar bandar melalui pendidikan, pembangunan kemahiran, dan kebajikan menyeluruh.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan kampung angkat, antara projek utama yang dilaksanakan ialah naik taraf Surau Ulu Batas yang terletak di Kampung Batu 8, Bendang Siam.

Usaha ini bertujuan untuk mempertingkat kemudahan ibadah dan keselesaan penduduk setempat.

Projek-projek naik taraf di bawah inisiatif ini menerima peruntukan khas sebanyak RM1.2 juta dengan kerja-kerja pembinaan dan penaiktarafan yang telah bermula pada Julai 2025 dan dijangka siap pada September 2025.


Mohd Zahari Ismail (kanan) sedang mengacau masakan daging untuk hidangan selepas program Gotong-Royong Perdana Kampung Angkat Madani di pekarangan Surau Ulu Batas, Bendang Siam, Changkat Jering dekat Taiping.

Inisiatif Kampung Angkat Madani bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi juga menjadi pemacu kepada kesejahteraan dan keterangkuman luar bandar dengan matlamat utama iaitu merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar.

 Selain melengkapkan prasarana asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya, lampu jalan, kemudahan masyarakat, serta capaian internet di kawasan terpinggir yang masih mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus.

Diterajui oleh Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Pengarah JPPKK, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail, melalui kerjasama rentas kementerian dan agensi serta penglibatan aktif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC & GLIC), dan pihak swasta.

Mengenal pasti kaedah terbaik menyelesaikan isu setempat yang boleh dijadikan penanda aras baharu bagi keberkesanan jentera kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat manfaat secara langsung dan menyeluruh.

Selain menaik taraf Surau Ulu Batas, Bendang Siam, projek lain ialah menaik taraf Bilik Pengurusan Jenazah di Masjid Al-Wusta, menaik taraf Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Siam, menaik taraf Anjung Komuniti dan taman permainan sebagai pusat komuniti, pembinaan Pintu Gerbang Masuk serta pemasangan lampu jalan di seluruh kampung.


Kakitangan kesihatan sedang memberikan rawatan kepada seorang penduduk Kampung Batu 8, Bendang Siam pada Program Gotong-Royong Kampung Angkat Madani dan Madan TVET.


Mohd Zahari berkata, program Kampung Angkat Madani ini bukan sekadar satu aktiviti khidmat masyarakat, tetapi manifestasi komitmen institusi pendidikan TVET untuk mendampingi rakyat terutama masyarakat luar bandar melalui nilai-nilai Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, hormat, inovasi, keyakinan dan ihsan.

Beliau berkata, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bukan hanya tempat belajar teori dan praktikal, tetapi tempat untuk membina jiwa, sahsiah dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

“Kita bertuah pada hari ini kerana program hari ini menghimpunkan seramai 160 warga Politeknik dan Kolej Komuniti Perak bersama Puspanita dalam menjayakan program Gotong-Royong.

“Saya juga terharu dan berterima kasih atas sokongan dan kehadiran warga kampung bersama-sama dalam program hari ini. Semangat kebersamaan inilah yang akan menjadi teras penyatuan kita semua. Semoga hubungan ini akan terus terjalin selamanya.

“Sebenarnya, peranan TVET dalam Komuniti melalui program sebegini mampu membuahkan banyak hasil. Antaranya ialah menyalurkan kemahiran kepada penduduk kampung serta menyemai semangat sukarelawan dalam kalangan komuniti,” katanya pada majlis Gotong Royong Perdana Kampung Angkat Madani dan Kampung Angkat Madani TVET di Kampung Batu 8, Bendang Siam, Changkat Jering, Taiping pada 12 Julai 2025.


Sebahagian kakitangan Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Perak yang menyertai Program Gotong-Royong Perdana Kampung Angkat MADANI dan MADANI TVET di Kampung Batu 8, Bendang Siam, Changkat Jering dekat Taiping.


Selain gotong royong membersihkan kawasan, antara perkhidmatan yang diberikan ialah pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung dan program keceriaan kampung.

Menurut Mohd Zahari, program ini juga berupaya mewujudkan kerjasama dua hala yang bermanfaat antara institusi pendidikan dan komuniti.

“Malah, gotong-royong hari ini bukan sekadar satu langkah kecil, tetapi impaknya besar iaitu mencerminkan roh perpaduan dan semangat tolong-menolong yang menjadi tunjang masyarakat kita sejak zaman nenek moyang.

“Saya berharap program ini menjadi permulaan kepada pelbagai lagi usaha sama termasuk program latihan kemahiran, bengkel usahawan dan inisiatif digital yang dapat membantu anak-anak muda serta penduduk kampung menjana pendapatan dan memperkasa ekonomi keluarga.

“Teruskan menyokong usaha Malaysia Madani. Mari kita bina negara melalui kekuatan akar umbi – dari kampung ke bandar, ke seluruh Malaysia. - KitaReporters

15
10
0
12
0
You will be interested