Oleh: DR. RABA`ATON ADAWIAH @ ROBIAH MOHD YUSOF
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Pengenalan Child Sexual Abuse Material (Bahan Penderaan Seksual Kanak-kanak atau CSAM) merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam mendidik masyarakat mengenai jenayah siber yang melibatkan kanak-kanak.
Inisiatif ini merupakan salah satu mekanisme bagi mengawal isu jenayah siber melibatkan kanak-kanak yang sedang berleluasa sekarang ini.

Beberapa langkah yang boleh dicadangkan bagi membantu keberkesanan CSAM.
Pertama, keperluan untuk langkah pencegahan pada peringkat awal.
Ia merangkumi pembinaan daya tahan digital kanak-kanak di mana pendidikan literasi digital yang sistematik seharusnya diberikan kepada ibu bapa, guru dan juga kanak-kanak bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan asas mengenai alam siber.
Alam siber adalah terlalu luas dan mampu untuk menyesatkan sesiapa sahaja sekiranya mereka tidak mempunyai pengetahuan asas mengenainya.
\Kondisi ini akan lebih teruk sekiranya anak-anak yang polos tersesat dan menjadi mangsa.
Justeru itu adalah penting untuk pendidikan literasi digital diberikan bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga kepada ibu bapa dan juga guru-guru bagi memastikan mereka juga dapat sama-sama membantu memberikan informasi yang tepat mengenai alam siber.
Menahan kanak-kanak daripada menerokai dunia siber bukanlah satu cara yang bersesuaian kerana ia merupakan salah satu keperluan pada masa kini.
Tetapi penerangan mengenai kesesuaian dan cara akses yang bermanfaat dapat membantu kanak-kanak untuk lebih peka dan sedar mengenai perkara ini selain itu mereka juga mungkin boleh mendapat manfaat sekiranya digunakan dengan betul.
Pendidikan literasi digital meliputi pengetahuan mengenai eksploitasi dalam talian, risiko kepada mangsa mahupun pelaku dan juga implikasi undang-undang sekiranya mereka terlibat dalam tindakan ‘forward’ mahupun ’share’ sesuatu yang tidak sepatutnya.
Maklumat berkenaan perkara-perkara ini perlu disebar luas dan diuar-uarkan agar setiap individu peka dan sama-sama terlibat untuk menjayakannya.
Perkara ini perlu melibatkan ekosistem yang besar iaitu melibatkan semua pihak bagi memastikan keberkesanannya.
Tindakan ‘forward’ mahupun ‘share’ sesuatu perkara kelihatan seperti tidak akan menimbulkan sebarang isu, tetapi tanpa disedari tindakan tersebut yang membantu menyebarluaskan jenayah siber ini, lebih-lebih lagi sekiranya apa yang disebarkan itu adalah tidak benar dan tidak bersesuaian.
Justeru itu, perlu ada perundangan dan pemakluman kepada orang awam mengenai risiko dan natijah daripada tindakan tersebut bagi mengawal penyebaran sesuatu yang tidak bersesuaian ini.

Langkah kedua adalah untuk mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu berusia 16 tahun.
Menurut Teori Perkembangan Erikson, usia 16 tahun merupakan peringkat umur remaja di mana mereka berada dalam keadaan kecelaruan identiti dan sedang dalam proses untuk mencari diri.
Peringkat ini adalah kritikal kerana ia merupakan transisi antara peringkat kanak-kanak ke peringkat remaja yang pastinya melibatkan ekspektasi yang berlebihan mengenai menjadi dewasa dan membuat perkara-perkara yang ‘bersifat dewasa’.
Pada peringkat usia begini, mereka akan meneroka peranan, nilai dan matlamat yang hendak dicapai dalam hidup berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan informasi yang dikumpul selama ini.
Sekiranya sokongan dan dorongan diberikan berbentuk positif mereka akan membentuk jati diri yang unggul dan bersesuaian untuk dikembangkan sebagai individu yang berguna.
Tetapi jika sebaliknya, ini akan menjadi asas kepada pembentukan identiti diri yang celaru.
Proses ini akan menjadi lebih berisiko sekiranya golongan ini tidak diberikan pendedahan yang bersesuaian mengenai penggunaan media sosial yang bermanfaat.
Cadangan untuk menyekat penggunaan media sosial bagi golongan ini adalah tidak bersesuaian kerana semakin disekat semakin timbul rasa untuk melanggar sekatan tersebut.
Adalah lebih sesuai untuk mengehadkan penggunaan di samping memberi justifikasi yang bersesuaian.
Pengenalan kepada media sosial ini seharusnya diberikan secara berperingkat-peringkat bukannya terus disekat dan dihalang sehingga mencapai umur tertentu.
Jika dilihat, media sosial sebenarnya sarat dengan maklumat dan boleh membawa kepada risiko kecelaruan maklumat lebih-lebih lagi kepada golongan remaja yang sedang mencari identiti diri.
Kebergantungan kepada media sosial sahaja tanpa pengawasan dan tunjuk ajar dari orang dewasa tidak akan memberikan arah tujuan yang boleh membantu golongan ini untuk mendapat manfaat daripada media sosial bahkan ia mampu untuk memudaratkan.
Tahap kematangan kognitif, emosi dan sosial pada usia 16 tahun pastinya tidak mencukupi untuk mengendalikan tekanan sosial, ancaman siber dan tekanan emosi sekiranya tanpa bimbingan orang dewasa.
Peranan institusi keluarga seharusnya ditekankan di sini bagi membantu mewujudkan keupayaan untuk berfikir secara kritis dalam kalangan remaja ini.
Pendedahan kepada apa yang boleh dan apa yang tidak boleh seharusnya digariskan dengan baik dan pemikiran kritis akan membantu untuk menjadi kayu ukur terhadap setiap keputusan yang diambil.

Langkah yang ketiga iaitu peranan ibu bapa sebagai ejen sosialisasi digital. Secara tradisi proses sosialisasi anak-anak merupakan salah satu tugas yang perlu dilaksanakan dalam institusi keluarga.
Anak-anak akan belajar asas untuk berkomunikasi, berinteraksi, menangani tekanan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang dilalui oleh mereka dalam keluarga.
Jika dilihat anak-anak pada zaman kini lebih bersifat terbuka, penuh dengan perasaan ingin tahu dan senang untuk berbincang mengenai isu yang dianggap taboo dalam masyarakat sebelum ini. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan seksual dan juga perhubungan.
Keadaan ini dilihat sebagai salah satu kemajuan dan lebih menuju ke arah modenisasi dan keterbukaan.
Perasaan ingin tahu dan ingin mencuba merupakan dua sifat dominan yang ada pada golongan remaja.
Sekiranya dua perkara ini tidak diambil serius oleh ibu bapa, mereka akan mencari info tersebut daripada rakan-rakan mahupun media sosial.
Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya kecelaruan maklumat yang diperolehi. Lebih-lebih lagi informasi yang diberikan oleh rakan sebaya akan lebih dipercayai berbanding apa yang dijelaskan oleh ahli keluarga.
Justeru itu, keluarga perlu membentuk sistem kepercayaan ahli bagi memastikan ahli keluarga selesa untuk bercerita, bertanya dan berkongsi apa yang mereka ingin ketahui.
Membentuk suasana keluarga yang terbuka dan selesa untuk berkongsi serta memberi sokongan merupakan tugas utama ahli keluarga lebih-lebih lagi ibu dan bapa.
Sekiranya suasana yang kondusif terbentuk dalam keluarga di mana anak-anak selesa untuk berkongsi dan memberi pandangan, ini akan menjadi asas utama kepada pembentukan identiti remaja yang kuat.
Perbincangan secara terbuka mengenai isu, risiko dan realiti masa kini sebaiknya dipupuk dan diamalkan dalam keluarga bagi memastikan anak-anak mempunyai tempat yang selamat untuk berkongsi dan bertanya mengenai sesuatu isu.
Penjelasan secara ilmiah dan berhemah seharusnya diberikan supaya anak-anak tidak akan mencari sumber lain ataupun berkongsi cerita di tempat yang tidak sepatutnya.
Selain daripada itu, ibu bapa juga perlu menjadi model kepada anak-anak dalam isu perkongsian bahan-bahan daripada media sosial.
Tidak dapat dinafikan ibu bapa merupakan role model (suri teladan) yang utama bagi anak-anak.
Sekiranya ibu bapa memandang serius tentang isu penderaan seksual kanak-kanak serta jenayah siber yang sedang berleluasa sekarang ini mereka perlu menjadi individu yang menghentikan penularan info-info yang tidak sepatutnya dan boleh memberi ancaman kepada generasi akan datang.

Secara kesimpulan, perkara yang perlu bagi memastikan kempen ini dapat dilaksanakan dengan berkesan adalah setiap pihak memainkan peranan bukan hanya mengharapkan pihak-pihak tertentu mahupun hanya pihak berwajib sahaja yang mengambil serius tentang cara untuk menangani isu ini.
Walaupun ada yang berpendapat mungkin anak mereka tidak akan terlibat dengan gejala sosial ini, tetapi perlu diingat yang perkara begini menular dengan cepat dalam ekosistem sesebuah masyarakat.
Jika bukan kita yang bertindak untuk menghentikannya kita mungkin akan mendedahkan generasi akan datang kepada permasalahan yang lebih besar.
Sedangkan generasi anak-anak pada hari ini yang akan membentuk dan menjaga negara kita pada masa akan datang.
Institusi keluarga merupakan asas terpenting bagi membantu menangani isu ini dengan lebih berkesan.
Pendidikan anak-anak dalam keluarga dapat membantu untuk membangunkan pemikiran kritis anak-anak, sekali gus menjadikan mereka lebih rasional dan tidak mudah untuk terpengaruh dengan anasir luar yang tidak bersesuaian.
Dr. Raba`Aton Adawiah @ Robiah Mohd Yusof ialah Ketua Program, Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.
