Kampus & Pendidikan 07 Aug, 2025

Bukan sekadar hafal al-Quran! Pelajar tahfiz ada bakat main boling! SEMADAH anjur kejohanan boling!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this

Bukan sekadar menghafal al-Quran, namun sekumpulan pelajar tahfiz di Negeri Sembilan ini memiliki kebolehan beraksi dalam bidang sukan apabila bakat terpendam mereka terserlah dalam satu kejohanan boling. Inisiatif tersebut dilakukan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail (SEMADAH), Pedas. - KitaReporters

Aksi sebahagian peserta kejohanan boling SEMADAH di Seremban.


BUKAN sekadar menghafal al-Quran, namun sekumpulan pelajar tahfiz di Negeri Sembilan ini memiliki kebolehan beraksi dalam bidang sukan apabila bakat terpendam mereka terserlah dalam satu kejohanan boling.  
Inisiatif tersebut dilakukan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail (SEMADAH), Pedas yang melaksanakan pendekatan dinamik dalam usaha memberi keseimbangan antara proses pembelajaran dan kegiatan sukan.
Seramai 53 pelajar Tingkatan 6 Tahfiz menyertai program terapi minda dengan menyertai kejohanan boling di Ole Ole Mydin Seremban 2 pada 22 Julai 2025.
Kejohanan tersebut turut disertai 15 guru dan pentadbir sekolah yang diketuai pengetua, Mohamad Hapizi Mohamad Ali.
Penyelaras program, Siti Nabilah Mohamad Rashul memberitahu, penganjuran pertandingan itu mampu mengurangkan tekanan dan tekanan emosi dalam kalangan pelajar Tingkatan 6 melalui aktiviti riadah santai yang menyeronokkan.
Malah katanya, ia juga mampu mengeratkan hubungan antara pelajar dan guru melalui aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan interaksi sosial serta semangat berpasukan.

Sebahagian pelajar yang menyertai kejohanan boling di Seremban. 


"Pertandingan ini juga berupaya meningkatkan kemahiran sosial, komunikasi dan kerjasama dalam kalangan pelajar melalui sukan berkumpulan yang tidak kompetitif, tetapi berstrategi," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pemilihan sukan boling berdasarkan beberapa faktor yang relevan dengan keperluan pelajar Tingkatan 6.

Tambahnya, ia merupakan sukan rekreasi yang tidak terlalu lasak, sesuai dengan semua pelajar tanpa mengira tahap kecergasan fizikal.
"Malah ia juga mudah untuk disertai dalam kumpulan kecil, sekali gus menggalakkan interaksi, kerjasama dan suasana santai.
"Aktiviti itu juga menarik dan menyeronokkan, membantu pelajar melupakan tekanan seketika serta menggalakkan penglibatan aktif dalam sukan.
"Ia juga boleh dijalankan dalam kawasan tertutup, menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar serta tidak bergantung kepada cuaca," katanya.
Sebagai rekod, SEMADAH merupakan pusat Tingkatan 6 Tahfiz yang mencatat keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terbaik di Negeri Sembilan dua tahun berturut-turut iaitu bagi sesi 2023 dan 2024. - KitaReporters

Para peserta terdiri daripada guru dan pelajar Tingkatan 6 Tahfiz yang menyertai terapi minda menerusi kejohanan boling.

 

11
11
0
12
0
You will be interested