Kampus & Pendidikan 06 Dec, 2023

Tahniah Raja Faiz, Lim Min Ying! Terima Anugerah Presiden, Anugerah Canselor! Majlis Konvokesyen MMU!

Share this


Dengan berbekalkan latar belakang aktif dalam kegiatan kokurikulum dan cemerlang dalam akademik, graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Raja Muhammad Faiz Raja Ismail diumumkan sebagai penerima Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen MMU 2023 di Cyberjaya. Graduan berasal dari Kuala Terengganu itu berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.99.   

Menurutnya, beliau terkejut apabila namanya diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut kerana berpendapat ramai graduan lain yang turut cemerlang dalam pengajian mereka.



"Saya rasa terharu dengan kejayaan ini. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua orang yang memainkan peranan penting dalam menyokong saya sepanjang perjalanan akademik saya, terutama ibu bapa, ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan saya," ketika ditemui pada hari pertama Majlis Konvokesyen 2023 pada 2 Disember 2023. 

Raja Muhammad Faiz juga adalah penerima Anugerah Permata, pengiktirafan sebagai pelajar terbaik bagi Fakulti Pengurusan. 

Sebagai Pengasas dan Naib Presiden Kelab Bursa Young Investor Club dan Presiden kepada Persatuan Fakulti Pengurusan (FOMS), Raja Muhammad Faiz berkata, penat-lelahnya selama ini terbukti berbaloi.

Menurutnya, kunci kepada kejayaannya ialah sentiasa melakukan sesuatu pekerjaan dengan fokus dan bersungguh-sungguh, selain perlu bijak membahagikan masa antara kelas dan kegiatan luar kelas, serta memberi tumpuan di dalam kelas. 



Sementara itu, majlis konvokesyen itu turut menganugerahkan Anugerah Canselor kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Pengkhususan Telekomunikasi, Lim Min Ying. 

Min Ying yang bergraduasi dengan CGPA 3.95 adalah pelajar yang aktif dalam aktiviti kokurikulum termasuk mewakili Malaysia dalam beberapa acara antarabangsa.

“Sebagai pemimpin pelajar, saya bertuah kerana diberikan peluang untuk menceburi pelbagai bidang seperti kepimpinan, keusahawanan dan kesukarelawan." kata Min Ying.

Majlis konvokesyen ini berlangsung dari 2 hingga 4 Disember 2023 bagi meraikan 3,477 graduan pada peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah. 

Penganugerahan skrol disampaikan oleh Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi dan Pro Canselor MMU, Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid. - KitaReporters/MMU



12
12
0
10
0
You will be interested