Seramai 2,000 pelajar terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama termasuk pelajar antarabangsa menyertai Program Iftar Mega Putra di Dataran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) di Serdang baru-baru ini.
Oleh: KHAIRUL ANUAR MUHAMAD NOH
UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) melancarkan Sistem Putra Buddies untuk membantu pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) menjalani aktiviti harian mereka di kampus sebagai menyokong Dasar Inklusif OKU UPM dan menepati aspirasi Keluarga Malaysia.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata sukarelawan UPM yang berdaftar melalui sistem Putra Buddies akan menjadi pemudah cara dan memberi bantuan dan sokongan sewajarnya mengikut keperluan pelajar OKU serta ketidakupayaan mereka.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus UPM
Naib Canselor UPM, Prof. Dato_ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman (tengah) menyerahkan sumbangan hari raya kepada ahli Persatuan Mahasiswa OKU UPM, Ikhmal Mustafa
“Kami mengalu-alukan pelajar UPM yang ingin membantu pelajar OKU agar mendaftar dalam sistem Putra Buddies terlebih dahulu untuk menghulurkan bantuan mengikut kaedah dan cara yang betul.
“Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UPM di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa OKU dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) akan membantu mengenal pasti 57 orang pelajar OKU yang memerlukan khidmat Putra Buddies,“ katanya yang merupakan penaung Putra Buddies.
Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Mahasiswa OKU UPM, Faisal Ahmad Raju, berkata pelancaran Persatuan Mahasiswa OKU UPM akan menjadi titik tolak suara pelajar OKU di dewan pelajar nanti di mana persatuan ini akan turut membantu Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar dalam melaksanakan aktiviti, kebajikan dan sokongan kepada pelajar OKU.
“Persatuan ini baru didaftarkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar pada tahun ini (2022) sejak penubuhannya pada tahun 2017 dengan misi untuk memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan pelajar OKU,” katanya.
Sistem Putra Buddies dan persatuan tersebut dilancarkan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman semasa Program Iftar Mega Putra 2.0 di Dataran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) di Serdang, Selangor baru-baru ini. Pengerusi Putra Buddies dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Nuruliman Ibrahim turut hadir.
Seramai 2,000 pelajar terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama termasuk pelajar antarabangsa telah menyertai Program Iftar Mega Putra untuk merasai suasana berbuka pada bulan Ramadan yang disediakan secara percuma pada bulan Ramadan secara terbuka di padang rumput.
Program tersebut dianjurkan oleh entiti di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Pelajar Antarabangsa UPM (UPMISA), Sahabat Masjid UPM dan Kelab Huffaz UPM.
Suasana iftar turut dimeriahkan dengan Tahsin Al-Fatihah oleh Geng Ngaji Global, UPM Berselawat dan bacaan ayat suci al-Quran. - KitaReporters