Kampus & Pendidikan 04 Oct, 2021

Video| Dari Menara Gading Ke Olimpik! Biografi U-Olimpian diterbitkan! Hargai keringat atlet IPT

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


SEBUAH buku mengumpulkan kisah perjalanan karier sembilan atlet Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang bertanding pada Sukan Olimpik 2020, Tokyo diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai menghargai pengorbanan mereka mengibar cabaran negara pada temasaya sukan berkenaan sekali gus menjulang nama IPT.

Buku biografi bertajuk ‘U-Olimpian: Dari Menara Gading ke Olimpik Tokyo’ itu yang diterbitkan oleh Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPT, memuatkan kisah perjalanan karier sembilan atlet berkenaan dari awal pembabitan sehingga aksi mereka pada Olimpik Tokyo 2020.

Sembilan atlet terbabit adalah Nur Dhabitah Sabri, Syaqiera Mashayik, Azreen Nabila Alias, Leong Mun Yee, Khairul Nizam Affendy, Farah Ann Abdul Hadi, Welson Sim, Wendy Ng Yan Yee dan Juni Karimah Nur Jamali.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik

Noraini Ahmad bersama sebahagian U-Olimpian pada majlis penghargaan dan penyampaian insentif di Putrajaya, Jumaat, 1 Oktober 2021 lalu. Kredit foto: FB Sukan IPT.


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penerbitan biografi berkenaan adalah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan KPT terhadap pengorbanan atlet-atlet berkenaan.

“Sukan Olimpik 2020 telah menjadi antara penyertaan paling ramai atlet IPT dalam temasya sukan berkenaan yang mana mencapai sasaran KPT dalam menyumbang 30 peratus daripada jumlah keseluruhan atlet ke Olimpik.

"Tidak keterlaluan jika boleh saya rumuskan bahawa Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) yang seiring dengan Dasar Sukan Negara (DSN) untuk menjadikan IPT sebagai pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta mewujudkan budaya bersukan di IPT berjaya mencapai objektifnya.

"Misi untuk melahirkan 'The Thinking Athlete' dengan sasaran 30 peratus atlet negara datangnya dari IPT juga sudah dicapai," kata Noraini.



Beliau berharap, liku-liku perjuangan sembilan atlet berkenaan sehingga bergelar Olimpian akan menjadi pendorong kepada setiap atlet yang berada di IPT supaya sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan sukan pada tahap tertinggi.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang atlet mencapai kejayaan tertinggi ini tanpa pengorbanan yang besar dalam aspek kehidupan mereka. Justeru pencapaian ini membuktikan IPT adalah tempat terbaik untuk melahirkan yang terbilang dan boleh dijadikan contoh kepada setiap lapisan masyarakat.

“Semoga penerbitan ini turut menjadi salah satu wadah yang akan sentiasa membangkitkan semangat kita untuk bersama-sama perjuangan negara membutirkan pingat emas pertama di pentas Sukan Olimpik,” katanya.


Noraini menyampaikan buku 'U-Olimpian: Dari Menara Gading ke Olimpik Tokyo' kepada penerjun negara, Nur Dhabitah. - Kredit foto: FB Sukan IPT.


Sementara itu Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Dr Pekan Ramli menganggap penerbitan buku ini sebagai sangat berharga bukan sahaja kepada atlet-atlet berkenaan tapi juga kepada IPT.

“Melalui buku ini kita dapat hayati betapa besar pengorbanan perlu dilakukan oleh U-Olimpian kerana sebagai penuntut dan atlet IPT, mereka berusaha keras memastikan kecemerlangan dalam pelajaran, juga sukan.

“Pada masa sama buku ini akan menjadi khazanah kepada atlet berkenaan serta IPT bagi tatapan generasi sukan serta atlet IPT akan datang sekali gus menjadi pemangkin semangat kepada mereka dalam usaha melahirkan lebih ramai U-Olimpian,” katanya.

Bagi atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri, penerbitan biografi itu yang turut membabitkan dirinya adalah satu penghargaan serta kebangaan kepada atlet-atlet U-Olimpian. 

“Bukan mudah untuk seorang atlet memiliki sebuah buku biografi mengenai dirinya. Saya berasa sangat bangga serta berterima kasih kepada KPT yang berusaha menerbitkan buku ini. Ini adalah satu penghargaan kepada kami. 

“Saya sudah membacanya sepintas lalu dan tertarik dengan isi kandungannya. Ada antara gambar-gambar saya semasa kanak-kanak, saya sendiri tidak memilikinya tapi berjaya didapatkan dan disiarkan dalam buku ini.

“Malah, saya sangat teruja kerana buku ini berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat kerana bukan mudah untuk mengumpul bahan-bahan apatah lagi membabitkan atlet yang ramai,” ujar Nur Dhabitah.


Noraini memperkatakan sesuatu mengenai buku 'U-Olimpian: Dari Menara Gading ke Olimpik Tokyo' kepada gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi. - Kredit foto: FB Sukan IPT.


Sementara itu, sembilan atlet berkenaan turut diraikan serta menerima insentif sebanyak RM5,000 daripada KPT dalam satu majlis di Putrajaya pada Jumaat, 1 Oktober 2021 lalu. 

Insentif berbentuk wang tunai sebanyak RM3,000 dan bakinya (RM2,000) dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) itu disampaikan Noraini.

Dalam perkembangan sama, Noraini mengumumkan tawaran Biasiswa Menteri Pengajian Tinggi-Atlet Cemerlang IPT kepada empat U-Olimpian terpilih.

"Empat U-Olimpian yang menerima biasiswa terbabit adalah Syaqiera, Azreen, Welson dan Juni Karimah. Semoga biasiswa ini akan memberikan suntikan semangat buat semua," kata Noraini. KitaReporters


Atlet U-Olimpian menerima insentif sebanyak RM3,000 secara tunai dan RM2,000 dalam bentuk SSPN sebagai menghargai penyertaan mereka pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo. - Kredit foto: FB Sukan IPT.

7
16
0
11
0
You will be interested