Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada Ismail Rosli al-Hafiz yang dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Huffaz Negeri Johor 2025 pada Majlis Ijtimak Huffaz Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Pusat Islam Iskandar Johor pada 12 November 2025.

Kredit foto: Media Digital Johor
Penulis turut tumpang gembira dengan anugerah
yang dicapai oleh beliau yang lebih mesra disapa sebagai Ustaz Ismail yang juga merupakan
jiran kepada penulis di Kampung Lubok Batu, Segamat, Johor.
Beliau yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Qiraat dari Universiti Al-Azhar, Mesir serta menjadi antara anak jati FELDA Tenang pertama yang menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran ini turut dikenali dengan semangat dedikasinya dalam mencurahkan khidmat bakti selama hampir tiga dekad dalam profesion pendidikan.
Lebih membanggakan, kesemua tujuh cahaya matanya dengan tiga daripadanya kini sudah bergelar hafiz di mana semangat cintakan al-Quran yang ada pada pesara guru itu turut diwarisi anak-anaknya.
Ia adalah hasil daripada teladan dan istiqamahnya dalam bidang pengajian al-Quran sehingga menjadi inspirasi kepada anak-anaknya untuk turut sama mengikut jejak langkah yang dimulakan oleh beliau.

Bekas guru Pendidikan Islam dan Syariah Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi, Segamat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat itu, kini sudah bersara wajib daripada pekerjaan tetapnya, namun ia tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk terus aktif dalam bidang kemasyarakatan.
Beliau kini berkhidmat sebagai Imam 1 di Masjid Jamek Makam Lubok Batu, Segamat, selain turut giat mengajar ilmu qiraat secara dalam talian serta aktif sebagai khatib jemputan di masjid-masjid sekitar daerah berkenaan.
Ustaz Ismail yang berasal dari FELDA Tenang dipilih menerima anugerah itu berikutan ketokohan dan pengabdian dirinya yang mendalam di bidang tahfiz al-Quran, selain pernah mewakili Negeri Johor ke Peringkat Kebangsaan dalam Pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun 1987 hingga 1989, sekali gus melayakkannya mewakili Malaysia pada pertandingan sama pada peringkat antarabangsa di Tehran, Iran pada 1989.
Anugerah yang diterima oleh Ustaz Ismail ini juga menjadi antara simbol pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan sumbangan golongan huffaz yang berperanan penting dalam membina masyarakat berakhlak al-Quran dan menyemarakkan nilai Islam di bumi Johor.
Pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, hadir merasmikan Majlis Ijtimak Huffaz Negeri Johor 2025 sempena Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Pusat Islam Iskandar Johor. - KitaReporters