Kampus & Pendidikan 09 Nov, 2025

Idea bukan sekadar slogan atau bahan retorik! Tapi berakar pada nilai, akhlak, keyakinan diri! - PM

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan sesebuah bangsa tidak akan terbina tanpa keberanian menguasai dan mencambahkan idea yang berakar pada nilai, akhlak serta keyakinan diri.

Perdana menteri merakam gambar kenangan bersama pengunjung. - Kredit foto: FB Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Festival of Ideas (Festival Idea atau FOI) menjadi medan untuk menghidupkan semula semangat ilmu dan wacana terbuka dalam kalangan anak muda, sarjana dan masyarakat.
“Kita ditanya, apa erti pendidikan? Tentunya menimba ilmu, tetapi mendapat idea sebagai pendorong kehidupan.
“Dengan maksud memberi sumbangan kepada diri, masyarakat dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bicara Idea Negara dan menyempurnakan majlis penutup Festival of Ideas 2025 (FOI 2025) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Jumaat 7 November 2025.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.


Anwar Ibrahim. - Kredit foto: FB Kementerian Pendidikan Tinggi.

Perdana menteri turut menegaskan bahawa setiap insan harus memahami makna idea sebagai kekuatan moral dan intelektual, bukan sekadar slogan atau bahan retorik.

“Jadi orang tanya, mengapa kita perlu menguasai idea dan melontar serta mencambahkan idea?” ujarnya.

“Syaratnya kita mesti menguasai ilmu dengan baik, ada keyakinan dan beraksi kepada keyakinan. Keyakinan itu mesti berakar di bumi, kukuh pada akidah, akhlak dan sahsiah,” katanya.

Di sebalik penekanan terhadap kepentingan idea, Anwar turut menzahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak yang masih terperangkap dalam pemikiran lama dan takut kepada pembaharuan.

“Masih ada kelompok yang terlalu jumud, terlalu taksub dengan cara lama. Tak mahu pembaharuan, tak mahu teknologi baharu dan tak bersedia menerima idea baharu.

“Sedangkan sarjana-sarjana kita menuntut keperluan islah -- pembaharuan,” tambahnya.


Anwar bersalam dengan para pengunjung Festival Idea Putrajaya. - Kredit foto: FB Anwar Ibrahim.

Malah perdana menteri turut menjelaskan bahawa sejarah dunia Islam sendiri membuktikan kemajuan lahir daripada keberanian mencabar kejumudan pemikiran.

“Abu Saidah dalam Uyun al-Hikmah menyebut idea mesti ada asas. Asas untuk membebaskan jiwa dan hati nurani manusia.

“Kalau mahu kebenaran dan keadilan, cinta kemanusiaan dan ihsan -- itu baru idea yang benar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa idea bukan hanya untuk diperdebat di menara gading, tetapi mesti 

digerakkan dalam tindakan dan dasar negara.

“Idea itu bukan dalam vakum. Dia mesti dengan keyakinan dan keberanian. FOI ini untuk menjelaskan apa itu sesuatu yang baik, adil dan hak,” katanya.

Menurutnya lagi, kemerdekaan sebenar tidak hanya terletak pada politik, tetapi pada pembebasan akal daripada pengaruh kolonial dan kejumudan.

“Negara sudah merdeka, tetapi pemikiran masih usang, diatur oleh orang lain. Belum bebas sepenuhnya.

“Kita perlu membentuk kerangka baharu berdasarkan keyakinan dan akal kita sendiri,” tegas perdana menteri.


Perdana menteri (kiri) bermesra dengan penuntut pengajian tinggi. - Kredit foto: FB Anwar Ibrahim.

Justeru Anwar menyeru generasi muda agar menjadi pelopor keberanian berfikir dan menegakkan kebenaran tanpa rasa takut.

“Jangan guna kebebasan idea untuk mencerca atau menghina. Idea yang benar mesti mendukung keadilan dan kemanusiaan.

“Biar Malaysia melahirkan generasi matang, merdeka dengan idea pendorong yang menyelamatkan bangsa dan negara,” katanya.

Perdana menteri turut menegaskan bahawa kebebasan berfikir harus disertai adab dan tanggungjawab moral agar ilmu menjadi panduan kepada perubahan.

“Kalau kita mahu maju, mesti ada islah, mesti fungsional dan progresif. Tak boleh jumud. Idea yang baik ialah yang membawa kebaikan dan mengangkat martabat manusia,” katanya.

Anwar dan barisan tetamu kenamaan merakam foto bersama para penuntut pengajian tinggi pada majlis penutup FOI 2025. - Kredit foto: FB Kementerian Pendidikan Tinggi.

Anwar  menutup ucapannya dengan keyakinan bahawa masa depan Malaysia akan cerah jika rakyatnya berani berfikir dan bersatu atas dasar nilai dan keadilan.

“We can be a great nation if we are united. Never lose sight of truth, justice and humanity. Love our people and elevate their dignity,” katanya. - KitaReporters

9
24
0
10
0
You will be interested