Seramai 36 pelajar Universiti Malaya (UM) melalui program Misi Kemanusiaan Antarabangsa Indonesia 2.0 (MKAI 2.0) dengan kerjasama Sekretariat Sukarelawanan Universiti Malaya (SEKRUM) dan komuniti setempat berjaya mengukuhkan hubungan dua negara serumpun melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti pendidikan, sosial dan pembangunan komuniti di Sumatera Barat pada 23 Julai hingga 31 julai 2025.


Program ini turut menyaksikan perasmian gerbang baharu Kantor Nagari Batu Kalang (Sumatera Barat) oleh Wali Nagari, Ismael Ali, sebagai simbol kerjasama strategik yang diharapkan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.
Misi ini menampilkan sembilan modul utama yang melibatkan pengajaran bahasa Inggeris, asas Islam, kesihatan wanita, penggunaan gadget beretika, projek infrastruktur, bengkel pemasaran dan produk berasaskan betik, kesedaran alam sekitar, seni canting batik serta pengenalan masakan tradisional Malaysia seperti nasi lemak.



Pengarah MKAI 2.0, Iffah Nur Balqis Abdullah, berkata program ini menjadi platform yang menyokong aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam memacu kesepakatan serantau berteraskan nilai kemanusiaan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
“Kami mahu misi ini memberi kesan berpanjangan terhadap masyarakat Batu Kalang (Sumatera Barat), bukan sahaja dalam pendidikan dan kesihatan, tetapi juga dalam membuka peluang ekonomi komuniti melalui idea-idea baharu,” katanya.


Sementara itu, Nur Sakinah Samsudin, 22, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sejarah dari Kedah, berkata penyertaannya dalam misi ini memberi pengalaman yang amat bermakna kerana dapat berkongsi ilmu dan kemahiran bersama masyarakat luar negara sambil mendalami budaya setempat.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang menyertai program ini. Penduduk Batu Kalang sangat ramah dan pemurah, membuatkan kami berasa seolah-olah berada di rumah sendiri walaupun jauh dari tanah air,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, Muhammad Nazmi Mohamad Subri, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Jerman UM yang berasal dari Sitiawan, Perak, menyifatkan penyertaan dalam misi ini sarat dengan nilai kemanusiaan dan pengajaran hidup.
“Ini merupakan misi sukarelawan ketiga yang saya sertai di bawah SEKRUM, dan setiap kali saya pasti belajar sesuatu yang baharu. Kali ini saya belajar bahawa rezeki yang kita miliki menjadi lebih bermakna apabila dikongsi bersama. Masyarakat Batu Kalang tidak pernah kedekut memberi, walaupun dalam serba kekurangan,” katanya.



Manakala Muhammad Syarifuddin Sulaiman, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera Sejarah dari Pulau Pinang, berkata penglibatannya dalam misi ini memberinya peluang memahami lebih dekat realiti kehidupan masyarakat luar bandar di Indonesia, khususnya di Sumatera Barat.
“Misi ini membuka mata saya tentang erti kesyukuran dan keperluan saling membantu sesama insan tanpa mengira sempadan negara. Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan UM yang membawa perubahan kecil tetapi bermakna kepada komuniti di sini,” katanya.
Penduduk Batu Kalang menyifatkan kehadiran sukarelawan UM sebagai simbol persaudaraan serumpun yang memperkukuh hubungan Malaysia-Indonesia, sekali gus diyakini menyokong agenda kemanusiaan dan integrasi ASEAN pada masa hadapan.
Program yang disertai 36 mahasiswa ini juga mendapat sokongan penuh dari Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM Prof Dr Zamri Radzi. - KitaReporters


\