Kampus & Pendidikan 12 Aug, 2025

Syabas KTESS! Projek Terapi Alam Sayangi Diri menang pingat emas! Pertandingan inovasi antarabangsa!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this


“Projek Inovasi ‘Terapi Alam Sayangi Diri’ anjuran Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Alor Setar, Kedah meraih pengiktirafan di Borneo 2025 International Innovation Creativity Competition (BIICC).


Trofi Gold Award yang dimenangi Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin (KTESS).

Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin (KTESS) Alor Star terus mengharumkan negeri Kedah di persada antarabangsa apabila projek inovasi “Terapi Alam Sayangi Diri” meraih Pingat Emas pada Borneo International Innovation Creativity Competition (Pertandingan Inovasi Kreativiti Antarabangsa Borneo atau BIICC) 2025 yang berlangsung secara dalam talian dan diumumkan di Pusat Belia Antarabangsa (International Youth Centre), Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2025 lalu.

Projek yang diilhamkan dan dibangunkan oleh guru Latiffah Hassan dan Nor Hafizah Mahmud dari Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) KTESS ini memanfaatkan aktiviti menanam bendi sebagai bentuk terapi alternatif untuk meningkatkan kesejahteraan mental pelajar.

Kaedah ini terbukti dapat mengurangkan tekanan, meningkatkan hormon gembira serta mengukuhkan kemahiran komunikasi dan kerjasama pelajar.


Ahmad Othman (tengah) bersama guru pembentang, Latiffah Hassan (kiri) dan Nor Hafizah Mahmud (kanan) bergambar kenangan selepas majlis penyampaian anugerah Borneo International Innovation Creativity 2025.


Ahmad Othman menerima trofi kemenangan Gold Award daripada Noorzlina Zainal Abidin, KPP Bahagian Pendidikan, Latihan Teknik & Vokasional, KPM.

Dalam pertandingan berpusat di Kuching, Sarawak itu, BIICC 2025 menghimpunkan lebih 631 peserta dengan 287 projek inovasi dari kira-kira 15 negara, termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkmenistan dan Mesir.

KTESS memenangi anugerah dalam Kategori Infographic Learning (Online Competition) – Teacher, di bawah Domain Best Practices & Innovation in Learning–Teaching/Administration.

Objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan keyakinan diri, memupuk semangat berpasukan, menambah kegembiraan dan ketenangan fikiran, serta memberi motivasi kepada pelajar.

Intervensi ini melibatkan ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan pelajar terpilih melalui Saringan Minda Sihat, dengan pemerhatian tugasan mingguan sebagai kaedah pengumpulan data.


Aktiviti menyiram pokok bendi dan mengambil gambar sebagai bukti projek yang dijalankan ini.


Pokok yang ditanam dan disiram mula mengeluarkan hasil.

Sementara itu Pengetua KTESS, Ahmad Othman ketika dihubungi wartawan KitaReporters menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti kesungguhan guru dan pelajar untuk menghasilkan inovasi yang relevan serta diiktiraf dunia.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus berkarya dan mengharumkan nama KTESS di pentas antarabangsa,” katanya.

Projek ini turut mendapat pengiktirafan kerana mengamalkan konsep kelestarian alam melalui aktiviti bercucuk tanam dan penjualan hasil sayuran, sekali gus menyumbang kepada pembelajaran holistik dan kesejahteraan komuniti sekolah. - KitaReporters


 

Sijil pencapaian Gold Award yang diterima oleh Latiffah Binti Hassan dan Nor Hafizah Binti Mahmud.


 

Pingat emas yang dimenangi pasukan Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Alor Setar, Kedah menerusi projek inovasi ‘Terapi Alam Sayangi Diri’.

13
8
0
12
0
You will be interested