Kampus & Pendidikan 09 Sep, 2025

Macam masa PRU! Perang poster, ucapan panaskan pemilihan perwakilan pelajar KTESS! Hidup demokrasi!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Suasana di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin (KTESS), Jalan Hutan Kampung, bertukar meriah apabila pelajar-pelajar prauniversiti itu menunaikan tanggungjawab dalam pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam (JPPT6) 2025/2026 dengan penuh semangat, seakan-akan Pilihan Raya Umum (PRU) sebenar.


Warga Prauniversiti Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin (KTESS) menunaikan tanggungjawab dalam Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam (JPPT6) 2025/2026.

Warna-warni poster calon menghiasi sekitar sekolah, menandakan semangat demokrasi pelajar Tingkatan Enam. 


Sejak hari penamaan calon, bahang demokrasi mula terasa apabila seramai lapan pelajar menawarkan diri untuk bertanding. Kempen semakin rancak dengan ucapan manifesto lantang, diiringi perang poster yang menceriakan setiap sudut sekolah.

Pada hari pengundian, pelajar berbaris panjang di Bilik Tunku Abdul Rahman dan Kelas LSP2. Setiap pengundi turut menanda jari dengan dakwat kekal, menambahkan suasana seolah-olah pengalaman PRU sebenar buat kali pertama.

Pengetua KTESS, Ahmad Othman, menyifatkan proses itu sebagai latihan demokrasi terbaik untuk pelajar.

“Mereka bukan sahaja belajar berkempen, malah menilai, memilih dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab. Inilah pengalaman demokrasi sebenar untuk mereka,” katanya.


Proses pengundian dijalankan mengikut prosedur sebenar -- Pelajar KTESS diberi pengalaman unik apabila menggunakan peti undi rasmi SPR dalam Pemilihan JPP Tingkatan Enam 2025/2026.

Pelajar KTESS melaksanakan proses demokrasi dengan penuh semangat sambil dipantau oleh pegawai KPM, JPN Kedah dan PPD Kota Setar.

Turut hadir menyaksikan proses pengundian ialah Azman Mashuri, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah Dua, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia; bersama Rizal Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kedah; A. Saiful Azman Aziz, Timbalan Pegawai PPD Sektor Pengurusan Sekolah Daerah Kota Setar. 

Kehadiran pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), guru-guru serta jawatankuasa pelaksana KTESS memastikan proses berjalan lancar dan teratur.


Pegawai KPM, JPN Kedah dan PPD Kota Setar turun padang bagi memastikan proses Pemilihan JPP Tingkatan Enam KTESS 2025/2026 berjalan lancar dan telus.


Penggunaan dakwat kekal memberi pengalaman baharu kepada pelajar sebagai pengundi muda.

Pemilihan ini merupakan sebahagian daripada proses lebih besar di seluruh Kedah yang melibatkan seramai 3,198 pelajar Tingkatan Enam Semester 1 daripada 48 institusi, termasuk 45 sekolah dan tiga kolej tingkatan enam.

Di KTESS sahaja, seramai 263 pelajar Semester 1 menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Keputusan rasmi diumumkan tepat jam 12 tengah hari di Dewan Seri Damar menyaksikan kemenangan Calon 3, Ainina Nurisya Mohd Afendi, yang mengetengahkan tema “Bersama Membina, Bersatu Berjaya”. - KitaReporters


Nur Adni Abdullah (kiri) meraikan kemenangan selepas diumumkan sebagai wakil Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam KTESS 2025/2026.

Gambaran keseluruhan PRU Tingkatan Enam 2025 – Seramai 3,198 pelajar Tingkatan Enam dari 48 institusi di seluruh Kedah terlibat dalam pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar.

9
12
0
7
0
You will be interested