Lawatan sambil belajar 28 orang pelajar semester tiga Diploma Komunikasi dan Pengajian Media UiTM dari Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama, Kuala Lumpur telah memberi banyak pengalaman dan maklumat mengenai media dan operasinya
Lawatan sehari tu turut disertai pensyarahnya Shafezah Abdul Wahab yang mengajar matapelajaran Kewartawanan JRN211.
Menurut Shafezah, lawatan ini adalah bagi memenuhi silibus pembelajaran kursus JRN211 sebagai pendedahan kepada pelajar tentang dunia kewartawanan sebenar menerusi pengalaman diperolehi di lapangan industri media.
Pelajar teruja melihat kecanggihan teknologi media di Bernama
Dalam lawatan itu, rombongan berkenaan telah disambut oleh Gerard Ratnam, Ketua Program Bahasa Inggeris, Bahagian Penyiaran Bernama; dan Carolyn Fung, Penolong Pengurus Bahagian Strategik Korporat Bernama serta Yuri Azhar Mazlan, Penyunting (Sub-Editor) Meja Penyuntingan Perkhidmatan Berita Ekonomi Bahasa Melayu Bernama.
Rombongan ini telah dibawa melawat ke studio Bernama TV dan pusat kawalan operasi Bernama TV.
Pelajar-pelajar diberikan penerangan tentang cara studio berfungsi dan beroperasi, juga fungsi-fungsi peralatan dalam studio seperti teleprompter dan kamera-kamera yang digunakan untuk siaran langsung.
Studio ini turut digunakan untuk penyampaian berita-berita di Bernama TV, seperti berita berbahasa Inggeris.
Pelajar juga dibawa ke Bahagian Digital Media di mana mereka didedahkan dengan unit media baharu dan media sosial.
Mereka turut dimaklumkan bahawa di bahagian berkenaan para petugas mempunyai satu skrin besar yang memaparkan segala berita yang diterbitkan di media sosial seperti Facebook, X, Instagram dan TikTok.
Bahagian ini turut mempunyai MyCheck – sebuah portal berita inisiatif Bernama dalam membendung penularan berita palsu. MyCheck ini berfungsi sebagai penyemak fakta terhadap berita dan kandungan yang ditularkan dalam media sosial yang belum dipastikan kesahihannya.
Pelajar-pelajar juga dibawa ke Bernama Radio. Di sana pelajar dapat melihat cara radio berfungsi yang dikendalikan oleh peneraju (anchor).
Taklimat telah diberikan oleh Enn Baleana, Pengurus Berita dan Nas Zamimi Nasbah, Penolong Pengurus Rancangan. Uniknya di Bernama Radio, mereka tidak menggunakan terma DJ, sebaliknya mereka menggunakan perkataan peneraju.
Di studio Bernama Radio
Para pelajar juga diberikan taklimat mengenai cara Bernama Radio berevolusi, kerana dahulunya Bernama Radio atau pernah dikenali sebagai Radio 24 merupakan stesen radio yang dikhususkan kepada kandungan berita dan hal ehwal.
Namun kini, Bernama Radio mengorak langkah membawakan corak penyampaian dan kandungan yang lebih santai dengan lagu-lagu yang menarik.
Wakil Bernama Radio memberi taklimat kepada pelajar-pelajar
Wakil pelajar, Muhammad Haikal Yuri Azhar berkata lawatan ini telah membuka mata para pelajar dalam memperoleh pendedahan dan pengetahuan yang lebih mendalam tentang pengurusan berita, proses penyiaran, peralatan dan teknologi terkini yang digunakan dalam memenuhi keperluan semasa industri media dan juga interaksi langsung dengan profesional dalam bidang ini.
Beliau juga memberitahu lawatan ini amat bermanfaat kepada semua pelajar, yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi Massa (Kewartawanan).
“Saya kagum dengan komitmen Bernama yang terus berani ke hadapan dan mengorak langkah untuk terus membangunkan dan mengekalkan standard yang tinggi dalam penyampaian berita yang benar dan berkualiti," katanya.
“Saya percaya bahawa hubungan yang erat antara institusi pendidikan dan industri adalah penting untuk memastikan kami bersedia untuk menghadapi cabaran sebenar di luar sana.
"Saya juga yakin dan percaya bahawa pengalaman ini akan menjadi asas yang kukuh untuk perkembangan kerjaya kami pada masa akan datang,” kata Haikal lagi.
Sebelum mengakhiri lawatan , sesi penyampaian cenderamata telah diberikan oleh Zarina Rozali, Pengurus Strategi Korporat Bernama kepada pensyarah pengiring Shafezah Abdul Wahab.
Pelajar-pelajar turut menerima cenderamata sebagai kenang-kenangan yang diwakili Muhammad Haikal Yuri Azhar selaku wakil kelas. - KitaReporters
Shafezah Abdul Wahab (kiri) dan Zarina Rozali.
Pelajar Diploma Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Alor Gajah, Melaka bergambar di depan Wisma Bernama