
Oleh: Rozak Hadi dan Effa Mazura
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Kota Masai (SKOMAS) menganjurkan Majlis Penutupan Ihya Ramadan dan Majlis Khatam al-Quran yang berlangsung pada Rabu, 26 Mac 2025.
Seramai lebih 120 orang murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dan warga pendidik SKOMAS menghiasi majlis yang bertempat di Surau Al-Ihsan, SMK Kota Masai.

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Jamilah Ali berkata program ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan MBPK dalam penghayatan al-Quran dan penanaman nilai-nilai murni sepanjang bulan Ramadan.
“Program yang berlangsung setiap tahun ini bukan sahaja sekadar memenuhi aktiviti persekolahan malahan ia sangat memberi kesan terhadap pemantapan nilai sahsiah dan jati diri MBPK untuk terus menjalani hidup dengan kesyukuran.
“Tidak hanya itu, program sebegini juga menjadi medan kebersamaan antara sesama warga pendidik dan MBPK khususnya untuk hidup bermasyarakat dan bergotong-royong dalam rangka membentuk muafakat yang kukuh,” katanya.

Sepanjang Ramadan, pelbagai siri aktiviti dijalankan yang melibatkan pertandingan ilmiah semarak Ramadan, program kerohanian, dan pemantapan akidah, ceramah keagamaan, latihan kemahiran serta aktiviti kebersamaan seperti Program Masak Bubur Lambuk yang menjadi rutin tahunan warga PPKI SKOMAS.
Tidak hanya itu, Majlis Berbuka Puasa berkonsepkan Iftar Bersama dan Tarawih Perdana SMK Kota Masai juga turut diadakan bagi menghiasi lagi kebersamaan pada bulan Ramadan 1446H/2925M ini.

Pengetua, Saridah Abdul Majid menzahirkan rasa syukur melihat kerjasama barisan guru dalam berusaha mengimarahkan bulan ramadan dengan semangat muafakat yang membawa manfaat kepada murid-murid.
“Senang saya melihat kebersamaan dan komited yang ditunjukkan oleh barisan guru dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang membawa manfaat kepada warga sekolah.
"SKOMAS pastinya akan sentiasa menyokong program-program yang membawa impak besar kepada murid dan akan sentiasa meraikan kebersamaan kekeluargaan sesama warga sekolah dalam mewujudkan suasana yang harmoni dan sejahtera,” katanya. - KitaReporters

/
Potret sebahagian MBPK yang turut serta dalam Majlis Penutupan Ihya’ Ramadan dan Majlis Khatam al-Quran
/
Potret guru semasa Program Masak Bubur Lambuk PPKI SKOMAS
Potret semasa Majlis Berbuka Puasa Perdana SMK Kota Masai
/