Kampus & Pendidikan 05 Jan, 2026

Lidah Pengarang| Tali leher bukan lagi ukuran disiplin! Tapi sikap, adab, tanggungjawab, komitmen!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Mulai tahun 2026, pemakaian tali leher dalam kalangan murid sekolah tidak lagi diwajibkan, satu keputusan yang pada zahirnya kelihatan kecil, namun membawa makna besar apabila dilihat dari sudut kebajikan murid dan realiti kehidupan di sekolah. 


Gambar hiasan... Pelajar sekolah menengah berhimpun di pekarangan sekolah dengan berpakaian seragam lengkap termasuk tali leher, mencerminkan amalan pemakaian uniform sebelum pelaksanaan dasar baharu yang memberi kelonggaran bermula 2026.

Dalam iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun, isu keselesaan murid wajar diberi perhatian kerana ketidakselesaan boleh menjejaskan tumpuan, kesihatan serta kesejahteraan emosi mereka.

Keputusan ini juga mencerminkan keprihatinan terhadap beban kewangan ibu bapa yang semakin meningkat. 

Walaupun kos sehelai tali leher mungkin dianggap kecil, bagi keluarga yang mempunyai beberapa orang anak bersekolah, perbelanjaan tambahan tetap memberi kesan, khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. 

Menjadikan pemakaian tali leher sebagai pilihan membantu meringankan beban ini tanpa menjejaskan tujuan asas pemakaian uniform sekolah.



Apa yang perlu difahami, dasar baharu ini bukanlah satu bentuk pengabaian terhadap disiplin atau penampilan murid. 

Pemakaian tali leher masih dibenarkan dengan persetujuan pihak sekolah dan ibu bapa, sekali gus memberi ruang kepada sekolah mengekalkan identiti serta tradisi masing-masing tanpa unsur paksaan terhadap murid.

Hakikatnya, disiplin tidak seharusnya diukur melalui aksesori atau simbol luaran semata-mata, sebaliknya melalui sikap, adab, tanggungjawab serta komitmen murid terhadap pembelajaran dan peraturan sekolah. 

Sekolah yang berkesan ialah sekolah yang mendidik dengan empati dan membina sahsiah secara menyeluruh, bukan sekadar menekankan penampilan fizikal.




Dalam era pendidikan yang semakin menuntut kepekaan sosial dan kefahaman terhadap realiti masyarakat, perubahan dasar seperti ini wajar dilihat sebagai langkah ke hadapan. 

Pendidikan yang baik bukan sekadar soal peraturan, tetapi keupayaan menyesuaikan dasar dengan keperluan manusia di dalamnya demi melahirkan insan berilmu, berakhlak dan sejahtera. - KitaReporters


16
8
0
12
0
You will be interested