Kampus & Pendidikan 04 Dec, 2025

Jadi inspirasi! Bermula dengan TVET, berakhir dengan ijazah! Buktikan pelajar TVET boleh berjaya!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Siapa sangka perjalanan seorang gadis yang bermula dengan berus solekan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak akhirnya membawa dirinya melangkah ke pentas institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menerima pengiktirafan dalam bidang seni solekan.



Itulah kisah Intan Azlina Aris, graduan Seni Solekan yang kini semakin dikenali dalam industri kreatif tanah air. Bagi Azlina, perjalanan itu bukan sekadar panjang, tetapi penuh cabaran. 

Bermula sebagai pelajar kemahiran yang hanya berbekalkan minat mendalam terhadap solekan, beliau akui tidak pernah menyangka langkah kecil ke IKBN Peretak akan menjadi permulaan kepada kerjaya profesional dalam dunia perfileman.

“Di IKBN Peretak saya belajar semuanya. Dari asas solekan, cara bekerja di belakang tabir, sampai disiplin yang perlu ada kalau nak berjaya dalam bidang ini,” katanya.



Selepas tamat pengajian kemahiran, Azlina mula turun ke set penggambaran. 

Awalnya sebagai pembantu, kemudian sedikit demi sedikit diberi tugas menyolek artis dan pelakon yang terlibat dalam drama serta filem tempatan.

Katanya, dunia produksi bukan semudah yang dilihat di TV. “Kadang-kadang kerja sampai tengah malam, kadang-kadang kena ulang mekap banyak kali sebab watak berubah. 

"Letih memang letih, tapi saya anggap semua itu latihan untuk jadi lebih baik,” ujar Azlina.

Kemahuan untuk maju membuatkan beliau menyambung pengajian di IPT secara fleksibel. 

Di celah-celah jadual penggambaran, Azlina tetap mencuri masa menyiapkan tugasan dan menghadiri kelas di Open University Malaysia (Universiti Terbuka Malaysia atau OUM).

Pengorbanan itu akhirnya terbalas apabila beliau diraikan sebagai graduan IPT dalam bidang berkaitan seni solekan. 

Baginya, kejayaan itu bukan sekadar segulung sijil, tetapi bukti bahawa kerja keras dan kesungguhan tidak pernah sia-sia.

“Kalau saya berhenti di tengah jalan, saya takkan sampai ke sini. "Sebab itu saya percaya, walau laluan kita dari TVET, tak bermakna kita tak boleh capai lebih jauh,” katanya.




Bukan itu sahaja, Azlina kini turut memikul peranan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Pekerja Filem Malaysia (Profima) bagi Bahagian Kebajikan. 

Melalui platform itu, beliau aktif membantu komuniti pekerja filem serta mengurus keperluan ahli yang terlibat dalam pelbagai produksi.

Profima juga menjadi ruang besar untuk Azlina menyumbang kembali kepada industri apabila persatuan itu menganjurkan pelbagai bengkel, kursus pendek dan latihan industri, bukan sahaja untuk ahli-ahli Profima, tetapi juga pelajar-pelajar politeknik yang sedang menjalani latihan praktikal.

“Seronok bila dapat bantu orang lain pula. Macam saya dulu diberi peluang, sekarang giliran saya berkongsi dan bimbing mana yang mampu,” katanya. 

Kisah Azlina kini menjadi inspirasi kepada ramai anak muda, khususnya pelajar TVET, bahawa permulaan yang sederhana bukan alasan untuk tidak mencapai kejayaan besar. - KitaReporters



10
15
0
9
0
You will be interested