

Seramai lebih 100 mahasiswa dari empat universiti awam berganding tenaga dalam menjayakan Program Bakti Madani @ Pasir Raja, Dungun yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 1 sehingga 3 Ogos 2025.
Program yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menyasarkan pemerkasaan jati diri mahasiswa melalui kesukarelawanan bersama masyarakat luar bandar.
Empat universiti yang terlibat ialah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan pelbagai pengisian berbentuk kemasyarakatan, kesejahteraan dan pemeliharaan alam sekitar di Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor.



Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, antara pengisian utama ialah program keluarga angkat, gotong-royong, pertandingan mewarna, sukan rakyat, pemeriksaan kesihatan, sesi motivasi kekeluargaan dan sumbangan lampu solar.
Selain itu, inisiatif Tukar Minyak Hitam Motosikal oleh UniMAP dan pemeriksaan gigi serta program AI @ NADI turut memberi nilai tambah kepada komuniti luar bandar yang sering berdepan kekangan logistik dan perkhidmatan.
Menariknya, program turut menyelitkan Kembara Semarak Merdeka dengan konvoi motosikal melibatkan 33 peserta dari UMT dan guru MPSR Zon Bukit Besi, selain Kempen River Care yang melibatkan pelajar dan penduduk dalam usaha kelestarian sungai.
Program ditutup dengan Kenduri Sekampung, menampilkan semangat gotong-royong dan juadah tradisional yang menyatukan warga kampung serta mahasiswa.



Bagi Muhammad Zaki Anuar, pelajar UMT, pengalaman menyertai program ini membuka mata mahasiswa untuk memahami erti kepimpinan dan keprihatinan sosial secara langsung.
“Ini adalah ruang untuk kami menyumbang kembali kepada masyarakat dan belajar menjadi insan bertanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kg. Pasir Raja, Adnan Apil, menyifatkan program ini memberi impak besar kepada penduduk yang amat menghargai kehadiran mahasiswa.
“Hubungan akrab terjalin, banyak manfaat dirasai. Terima kasih kepada UMT dan rakan universiti yang memilih Pasir Raja sebagai lokasi program,” katanya.
Program ini turut mendapat kerjasama UMT Holdings, SK Pasir Raja, SK Shukor, KEMAS Daerah Dungun, MPSR Zon Bukit Besi, KETENGAH, JPKKP Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti (Wakil Komuniti), Dato’ Dr. Din Adam. - KitaReporters

