Kampus & Pendidikan 05 Oct, 2022

Kepimpinan Berpandukan Qalbu! Kursus Qalb-guided Leadership KAGAT, USIM! Hati bersih, kerja jujur!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this


PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jeneral Tan Sri Effendi Buang telah berbesar hati merasmikan Kursus Kepimpinan Berpandukan Qalbu kepada para peserta program Majlis Nadwah Ilmiah (NAIM) bagi tahun 2022 yang berlangsung selama 3 hari bermula di Glenmarie Hotel & Golf Resort Shah Alam di Selangor baru-baru ini.

Affendi berkata, “Kepimpinan Berpandukan Qalbu” (hati) menjadi tema pilihan dalam kursus kepimpinan kali ini kerana kita semua tahu bahawa hati yang bersih sahaja mampu untuk mendorong kepada pelaksanaan kerja yang berintegriti dan jujur.

“Sebagai pemimpin, kita harus berusaha memastikan hati ini kekal terpelihara dengan kebaikan sepanjang masa agar dapat menghindarkan kita dari terjerumus melakukan perkara-perkara yang merugikan diri dan organisasi,” katanya lagi pada majlis tersebut.  

"Saya juga berharap agar kesemua peserta yang telah dipilih untuk menghadiri kursus ini dapat mengambil manfaat dari kesemua modul yang dibentangkan sekaligus mempraktikkannya kepada diri dan organisasi kelak," tambahnya lagi. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Angkatan Tentera Malaysia


Dalam masa yang sama, Mejar Jeneral Mohd Rashidi Bujai, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dalam ucapan aluannya turut berharap agar para peserta dapat memahami perspektif kepimpinan Qalbu bagi menghadapi dan menangani cabaran global serta mampu memberikan cadangan penyelesaian terhadap masalah semasa.

Selain itu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga Prof. Kehormat Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak turut berkongsi bagaimana menjadi pemimpin unggul mengikut perspektif Imam Al-Ghazali dengan berjihad melawan musuh yang tidak nampak seperti penyakit ego, sombong, pentingkan diri sendiri, marah, menipu dan sebagainya. 

Semua fakta ini, jelas beliau, telah dibuktikan secara saintifik oleh para penyelidik barat contohnya di Universiti Stanford.

Kursus yang ditaja oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) ini merupakan sebuah projek perundingan antara Pusat Penyelidikan Mizan (MRC), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, dan KAGAT.

Program yang diurusetiakan oleh KAGAT ini disertai pegawai-pegawai tertinggi dari pelbagai agensi dan jabatan di Malaysia termasuk Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. 

Turut hadir Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM. - KitaReporters/USIM


13
17
0
13
0
You will be interested