“KECEMERLANGAN dalam akademik tetapi tanpa jiwa dan institusi tanpa roh tidak mencerminkan kecemerlangan yang sebenar,” kata Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Beliau berkata, UPSI
bermula zaman Sultan Idris Training College (SITC) adalah pencetus kepada
kemerdekaan nusantara yang bermula daripada bahasa, bangsa dan budaya apabila
sudah 100 tahun institusi keramat itu
mengecapi penubuhannya yang perlu melihat kembali hala tuju perjuangan bangsa
dan bahasa.
“Perkara itu yang harus kita renung, malah akademia seharusnya mewarisi tokoh-tokoh Sasterawan Negara yang bertapak di bumi keilmuan Muallim ini seperti Shahnon Ahmad, Kemala dan Rahman Shaari,” ujarnya ketika berucap bersempena majlis Syarahan Perdana Pelantikan Prof Dr Abdul Halim Ali di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Kampus Sultan Azlan Shah, pada 31 Januari 2024.
Prof Dr Md Amin (kiri) melihat hasil karya Prof Dr Abdul Halim.
Prof Dr Md Amin berharap kalangan akademia UPSI meresapi semangat
mereka supaya dapat menjadi akademia sebenar yang mengajar akan erti sebenar
sebuah bangsa dan negara.
Menurut beliau, akademia perlu memiliki pertama, roh dan jiwa; kedua, keinginan; dan
ketiganya mereka melihat bahawa
bidangnya adalah satu bidang yang mulia serta harus dijulang.
Jelasnya, roh itu harus ada dalam kalangan akademia semua supaya dapat memartabatkan asas dan akar budaya kita seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mengakar di Bumi, Menggapai di Langit.
Sehubungan itu, katanya, majlis sebegini terutama dalam
pengajian bahasa Melayu adalah sangat signifikan supaya terus mengakar
sebagaimana kata-kata Perdana Menteri.
“Jangan kita hanya menjadi pengajar namun kita harus menjadi
pencerna yang membawa ke arah pemikiran baharu seperti mana Za’ba yang
memerdekakan nusantara melalui pena.
“Justeru, ini menjadi cabaran kepada kita apabila bahasa Indonesia diiktiraf sebagai bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Di manakah tujuan dan perjuangan bahasa Melayu? Apakah yang harus kita lakukan dalam memartabatkan bahasa,” tegasnya.
Oleh itu, UPSI sedang menghidupkan Pusat Pengajaran Bahasa di School of Oriental Studies and African Studies (SOAS), University of London dan menghantar dua pensyarah untuk menghidupkan bahasa Melayu di sana seterusnya di Uzbekistan State World Languages University, Tashkent, selain menghantar wakil di setiap pusat di samping terdapat lima mahasiswa dalam pengajaran bahasa Melayu yang akan menjalani latihan mengajar di sana.
Prof Dr Abdul Halim (menyampaikan buku Syarahan Perdana Pelantikan Profesor kepada Prof Dr Md Amin (lima dari kiri) selepas majlis di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Kampus Sultan Azlan Shah, pada 31 Januari 2024.
Hadir sama mendengar syarahan beliau, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, dan Prof Emeritus Dr Mohamad Mokhtar Hassan serta Presiden Karyawan Pk, Zabidin Ismail. - KitaReporters
Prof Dr Abdul Halim menyampaikan syarahan.