Kampus & Pendidikan 29 Jun, 2022

Majukan lagi Pelancongan Islam! USIM, ITC meterai MoU! Bangunkan bakat, pengetahuan, pengurusan!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this


Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Pelancongan Islam (ITC) bagi membangunkan bakat, memperluaskan pengetahuan dan maklumat berkaitan bidang pelancongan dalam lanskap Pelancongan Islam di Malaysia.

Menambah kemeriahan, majlis menandatangani MoU ini yang diadakan pada 24 Jun 2022 mengambil tempat semasa pelancaran Minggu Pelancongan Islam yang julung kali dianjurkan oleh ITC bertempat di Hotel Zenith, Putrajaya.

Dalam MoU ini yang ditandatangani itu, USIM diwakili Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, yang menjalankan fungsi Naib Canselor, manakala ITC diwakili Dato’ Dr Mohmed Razip Haji Hasan, Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) sambil disaksikan oleh Dato Seri Nancy Shukri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelancongan


Kedua-dua pihak bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan untuk memajukan latihan berkaitan Pelancongan Islam, penyelidikan, pembangunan modul, pembangunan standard, membangunkan bahan publisiti mengenai pelancongan, penganjuran bersama mesyuarat, konvensyen dan seminar, serta bidang lain dalam sektor Pelancongan Islam.

Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, konsep Pelancongan Islam dikenali dengan nama dan konotasi yang berbeza dalam teori dan amalan pelancongan. Pelancongan Halal, Pelancongan Syariah dan pelancongan mesra Muslim adalah istilah yang biasa digunakan.

Di USIM, kami menawarkan program akademik khusus yang berkaitan dengan Pelancongan Islam di mana struktur kurikulum dan kursus yang dirangka dalam program ini merangkumi elemen keseimbangan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli. 

"Penyampaian ilmu dan teori serta pemupukan kemahiran yang berkaitan dalam setiap kursus diharapkan dapat membentuk bakat masa hadapan yang berkemahiran dalam bidang pengurusan dan pelancongan,” ujarnya lagi.



Di bawah MOU ini juga, kedua-dua pihak akan bersama-sama membangunkan dan melaksanakan program akademik dalam mod Pengajian 3u1i (tiga tahun universiti, satu tahun industri) dalam bidang pengurusan dan pentadbiran Pelancongan Islam serta bidang lain yang berkaitan. 

"Mod Pengajian 3u1i" ialah program untuk mempersiapkan siswazah dengan pengalaman teori dan praktikal yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Berdasarkan MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index atau Indeks Pelancongan Muslim Sedunia (GMTI) 2022, Malaysia menduduki tempat pertama dalam senarai destinasi percutian mesra Muslim terbaik mengatasi Indonesia dan Saudi Arabia. - KitaReporters/USIM


14
14
0
12
0
You will be interested