Kampus & Pendidikan 11 Feb, 2023

Bangunkan bakat-bakat baharu! MMU & KRU meterai MoU bidang Keusahawanan Digital, Kandungan Kreatif!

Share this


Universiti Multimedia (MMU) dan Yayasan KRU telah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi membangunkan bakat-bakat baharu dalam bidang keusahawanan digital dan penciptaan kandungan kreatif.

Perjanjian tersebut ditandatangani Presiden MMU, Prof. Dato Dr. Mazliham Mohd. Su’ud dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim di MMU Cyberjaya, baru-baru ini.  

Prof. Mazliham berkata, kolaborasi tersebut membolehkan kedua-dua belah pihak melaksanakan projek dan aktiviti secara bersama untuk mempertingkat kemahiran pelajar dan graduan menerusi pelbagai program latihan ‘up-skilling’ dan ‘re-skilling’ keusahawanan digital. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus MMU

Prof Mazliham Mohd Suud (kiri) dan Norman Abdul Halim bertukar-tukar dokumen pada majlis menandatangani MoU di MMU Cyberjaya baru-baru ini.


“Sejak ditubuhkan 26 tahun lepas, MMU telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai industri untuk melahirkan graduan mempunyai kebolehpasaran tinggi. Saya gembira kerana Yayasan KRU menjadi salah sebuah institusi yang turut bekerjasama dengan MMU,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU di MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Menurutnya, MoU itu membuka jalan kepada lebih banyak peluang untuk pelajar MMU untuk menimba ilmu dan kemahiran dalam latihan industri dan pekerjaan dalam bidang kandungan kreatif dan keusahawanan digital.

“Peluang ini boleh ditawarkan kepada semua pelajar MMU termasuk para pelajar di Fakulti Perniagaan, Fakulti Multimedia Kreatif dan Fakulti Seni Senimatik,” katanya sambil menambah, MMU kini telah melahirkan kira-kira 70,000 graduan sejak ditubuhkan.

Sementara itu, Norman berkata, kerjasama ini juga memberi peluang kepada kakitangan, pelajar dan alumni MMU untuk terlibat dalam bidang perniagaan berasaskan digital.

Beliau turut berharap penglibatan bersama industri dan ahli akademik akan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya kreatif bagi menjana ekonomi negara pada masa depan.

Majlis menandatangani MoU berkenaan turut dihadiri Noor Hafeez Noor Hashim, Pengarah Urusan Yayasan KRU dan Zambri Pawanchik, Naib Presiden, Pemasaran Strategik, Kemasukan dan Pengambilan Pelajar MMU. - KitaReporters/MMU


Prof Mazliham Mohd Suud (empat dari kanan) dan Norman Abdul Halim (tengah) bergambar bersama kakitangan MMU selepas majlis menandatangani MoU di MMU Cyberjaya baru-baru ini.

12
13
0
9
0
You will be interested